
SHAH ALAM – Peningkatan peruntukan Program Mama Kerja kepada RM10 juta membolehkan 10,000 ibu bekerja di seluruh negeri menerima manfaat.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor, Anfaal Saari berkata bantuan itu sekali gus membantu golongan sasar menangani cabaran kos sara hidup semasa.
“Bantuan ini bukan sekadar diharapkan dapat meringankan beban penjagaan anak, tetapi juga memberi sokongan kepada ibu-ibu yang gigih mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya.
“Bantuan ini akan disalurkan melalui aplikasi Nine sebagai tanda penghargaan kepada kaum ibu yang banyak menyumbang kepada keluarga dan negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan di media sosial.
Anfaal turut merakamkan penghargaan kepada golongan bapa sempena sambutan Hari Bapa, sambil menyifatkan mereka sebagai tunjang kekuatan dan tulang belakang kepada institusi keluarga.
Dalam pada itu, beliau berkata Selangor telah melalui pelbagai cabaran besar sepanjang lapan tahun lalu termasuk pandemik Covid-19, bencana banjir besar serta ketidaktentuan ekonomi global yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
Namun, katanya, negeri itu terus mencatat kemajuan di bawah kepimpinan Amirudin yang berjaya memastikan Selangor kekal berdaya tahan meskipun berhadapan pelbagai krisis.
Anfaal berkata sepanjang hampir tiga tahun berkhidmat di bawah pentadbiran Menteri Besar, beliau menyaksikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa golongan rentan termasuk wanita, orang kurang upaya (OKU), warga emas serta institusi keluarga.
“Prinsip bahawa tiada siapa harus dipinggirkan sentiasa diterjemahkan melalui dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau berharap usaha memperkukuh program kebajikan dan pembangunan sosial itu dapat diteruskan bagi memastikan Selangor kekal sebagai negeri yang maju, makmur dan inklusif untuk semua lapisan masyarakat.






