
KUALA LUMPUR– Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 yang bermula Isnin ini dijangka memberi tumpuan kepada beberapa rang undang-undang (RUU) penting termasuk cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun serta pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Persidangan Dewan Rakyat yang berlangsung sehingga 16 Julai itu akan menyaksikan pembentangan semula RUU Perlembagaan (Pindaan) 2026 berhubung had tempoh jawatan Perdana Menteri serta RUU Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 bagi mengasingkan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Kedua-dua cadangan tersebut pernah dibentangkan sebelum ini, namun RUU berkaitan had jawatan Perdana Menteri gagal memperoleh sokongan dua pertiga Ahli Dewan Rakyat, manakala RUU pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas untuk penelitian lanjut.
Turut menjadi perhatian ialah RUU Jenayah Siber 2026 serta cadangan pindaan kepada Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang dijadual dibentangkan pada hari pertama persidangan.
Selain urusan perundangan, sidang selama 16 hari itu dijangka menyaksikan perbahasan mengenai pelbagai isu semasa termasuk kesan krisis bekalan tenaga global susulan konflik berterusan di Asia Barat yang memberi impak kepada rantaian bekalan tenaga antarabangsa.
Sidang Dewan Rakyat akan bermula pada 22 Jun sehingga 16 Julai ini.







