Jepun turunkan tahap amaran perjalanan ke Sabah Timur, bukti keselamatan negeri semakin kukuh

KOTA KINABALU – Keputusan Kementerian Luar Jepun menurunkan tahap nasihat perjalanan bagi beberapa kawasan di Sabah Timur membuktikan pengiktirafan antarabangsa terhadap peningkatan tahap keselamatan, kestabilan dan kesiapsiagaan negeri itu dalam menerima pelancong global.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, perkembangan berkenaan mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam aspek keselamatan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi keselamatan dalam memperkukuh penguatkuasaan, pemantauan serta perlindungan kepada penduduk dan pelawat.

“Penurunan tahap amaran perjalanan itu bukan berlaku secara kebetulan, sebaliknya berdasarkan perubahan sebenar di lapangan termasuk rekod sifar kejadian penculikan untuk wang tebusan sejak 2020 serta peningkatan koordinasi antara agensi penguat kuasa.

“Sabah mengalu-alukan kehadiran pelawat dari seluruh dunia dengan penuh keyakinan dan rasa bangga. Keputusan Jepun ini menunjukkan bahawa keadaan keselamatan Sabah semakin baik dan diiktiraf berdasarkan realiti semasa,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Selasa.

Menurut Jafry, berdasarkan semakan terbaharu, Kementerian Luar Jepun menurunkan tahap nasihat perjalanan bagi pulau-pulau di luar pantai Sabah Timur, kecuali Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan beberapa kawasan lain, daripada Tahap 3 kepada Tahap 2.

“Sebelum ini, Tahap 3 membawa maksud nasihat supaya semua perjalanan dielakkan, manakala Tahap 2 pula mengesyorkan pelancong mengelakkan perjalanan yang tidak penting ke kawasan berkenaan.

“Nasihat perjalanan bagi kawasan pesisir pantai dari Kudat hingga Tawau termasuk Pulau Banggi, Pulau Balambangan dan kawasan sekitarnya turut diturunkan daripada Tahap 2 kepada Tahap 1, iaitu tahap yang hanya menasihatkan pelancong supaya meningkatkan kewaspadaan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan negeri menghargai pengiktirafan daripada rakan antarabangsa termasuk Jepun yang sentiasa mengemas kini nasihat perjalanan berdasarkan keadaan semasa dan perkembangan keselamatan di sesuatu kawasan.

“Sabah kini berada dalam kedudukan lebih kukuh sebagai destinasi pelancongan serantau yang menawarkan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya serta layanan mesra kepada pengunjung.

“Sehubungan itu, syarikat penerbangan harus menilai semula dan meningkatkan hubungan penerbangan ke Sabah bagi memenuhi jangkaan peningkatan ketibaan pelancong susulan perkembangan positif tersebut.

“Peningkatan kekerapan penerbangan serta pembukaan laluan baharu amat penting bagi memperkukuh aksesibiliti Sabah dan menyokong pertumbuhan industri pelancongan negeri,” jelasnya.

Dalam pada itu, Kerajaan Sabah kini giat membuat persiapan menghadapi Tahun Melawat Sabah 2027 sebagai inisiatif utama mempromosikan keunikan alam semula jadi, warisan budaya dan pengalaman hospitaliti bertaraf dunia kepada masyarakat antarabangsa.

“Kerajaan negeri tidak akan berasa selesa dengan pencapaian semasa dan akan terus memperkukuh aspek keselamatan bagi memastikan kesejahteraan rakyat serta kelangsungan industri pelancongan Sabah.

“Kami akan terus bekerjasama dengan semua pihak untuk memastikan Sabah kekal sebagai destinasi yang selamat, menarik dan bersedia menerima lebih ramai pelawat dari Jepun serta seluruh dunia,” tegasnya.

Related Posts

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

KANGAR – Penemuan kedua tulang dipercayai rangka manusia dalam tempoh kira-kira dua minggu di Behor Mali di sini mencetuskan persoalan netizen apabila lokasi baharu itu hanya kira-kira 200 meter dari…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

GEORGE TOWN – Audit struktur secara sistematik dan pemeriksaan berkala terhadap bangunan warisan di negeri ini perlu dilaksanakan bagi memastikan keselamatan awam terutama membabitkan premis berusia puluhan hingga ratusan tahun.…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

  • By Aden
  • August 5, 2026
Harga runcit petrol, diesel tanpa subsidi turun 5 sen seliter

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Penemuan kedua tulang dalam guni cetus persoalan

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Cik Man meninggal dunia dipercayai akibat serangan jantung

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Kerajaan percepat proses 15,000 permohonan pekerja asing bantu sektor ekonomi

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Bangunan warisan Georgetown perlu diaudit secara sistematik demi keselamatan

Rumah dibeli terbengkalai, suami isteri tanggung sewa dan pinjaman serentak

Rumah dibeli terbengkalai, suami isteri tanggung sewa dan pinjaman serentak