
MUKAH – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada pertubuhan Women Fellowship (WF) Mukah Anglican Centre di Mukah sebagai sokongan terhadap usaha memperkasa peranan wanita di kawasan berkenaan.
Sumbangan itu diserahkan sempena pelancaran rasmi pertubuhan tersebut yang bakal bertindak sebagai platform menghimpunkan golongan wanita dalam aktiviti pembangunan sahsiah, kebajikan dan kesejahteraan komuniti.
Royston berkata, pembentukan pertubuhan wanita itu bukan sekadar penubuhan organisasi baharu, sebaliknya berfungsi sebagai ejen penggerak untuk memberi inspirasi serta menyumbang secara positif kepada institusi kekeluargaan dan masyarakat.
“Apabila wanita diperkasakan, keluarga akan menjadi lebih kuat. Apabila keluarga lebih kukuh, masyarakat akan menjadi lebih bersatu.
“Dan apabila masyarakat bersatu, kita semua akan menikmati kehidupan yang aman, harmoni serta kemajuan berterusan,” katanya ketika berucap merasmikan majlis tersebut pada malam Sabtu.
Mengulas lanjut, Royston menjelaskan, golongan wanita sentiasa memainkan peranan kritikal dalam mencorakkan masyarakat berdaya tahan menerusi ketabahan dan kebijaksanaan mereka.
Justeru katanya, sumbangan yang disalurkan itu diharap dapat membantu dana organisasi berkenaan untuk merancang serta melaksanakan program kebajikan berskala besar pada masa hadapan.
“Penubuhan Women Fellowship ini merupakan satu langkah positif dalam membangunkan kepemimpinan wanita.
“Sumbangan ini bukan sekadar bantuan kewangan, tetapi simbol kepercayaan dan komitmen bersama dalam membina komuniti yang lebih inklusif,” jelas beliau.
Dalam pada itu, Royston turut menyentuh berkenaan keunikan perpaduan di Sarawak yang sentiasa menjadi model keharmonian kaum di Malaysia.
Menurut beliau, organisasi berasaskan komuniti seperti WF memikul peranan besar dalam menyemai semangat muhibah serta memperkukuh integrasi sosial sesama rakyat.
“Salah satu kekuatan terbesar kita di Sarawak ialah perpaduan dalam kepelbagaian.
“Kita hidup bersama dengan penuh rasa hormat dan meraikan perbezaan sebagai sumber kekuatan, bukannya faktor perpecahan,” tegasnya.






