KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menjalankan tanggungjawabnya dengan menyalurkan setiap aduan berkaitan kandungan media sosial kepada platform terbabit tanpa mengira latar belakang atau kecenderungan mana-mana pihak.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setiap platform media sosial mempunyai dasar serta garis panduan komuniti tersendiri yang menjadi asas kepada tindakan terhadap sesuatu kandungan.Beliau berkata, peranan MCMC adalah mengemukakan aduan yang diterima daripada orang ramai kepada platform berkenaan untuk dinilai mengikut peraturan yang ditetapkan oleh penyedia perkhidmatan masing-masing.
Menurutnya, pengguna media sosial juga boleh membuat laporan secara langsung kepada platform tanpa perlu melalui MCMC kerana kemudahan berkenaan tersedia pada setiap kandungan yang dimuat naik.
“Dalam setiap kandungan ada satu butang yang boleh ditekan untuk mana-mana pihak melapor terhadap sesuatu kandungan.
“Bagi MCMC, mereka akan mendapat aduan dan panjangkan kepada platform tanpa bias, tanpa fear or favour,” katanya pada sidang media mingguan, di Angkasapuri, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa terdapat kandungan yang mengkritik kerajaan diturunkan atau disiasat oleh MCMC.
Fahmi, yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, menjelaskan bahawa tidak semua aduan yang dirujuk kepada platform media sosial akan berakhir dengan tindakan menurunkan kandungan kerana keputusan muktamad berada di tangan platform terbabit.
Katanya, platform media sosial mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada sesuatu kandungan melanggar garis panduan komuniti atau sebaliknya selepas proses penilaian dilakukan.
“Bukan semua yang MCMC bawa kepada perhatian platform media sosial diturunkan. Malah banyak sebenarnya yang tidak diturunkan.
“Akhirnya terpulang kepada platform untuk turunkan atau tidak,” katanya.






