
PUTRAJAYA – Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali, hari ini membuat laporan polis terhadap ahli perniagaan, Albert Tei yang didakwa mengganggu ketenteraman selain mengeluarkan tuduhan tidak berasas terhadap Kementerian Komunikasi.
Hisyamuddin yang lebih dikenali sebagai Syam Ghaz menegaskan, laporan yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya antaranya menggesa polis menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya.
Menurut beliau, tindakan Tei yang hadir ke premis kerajaan dengan tujuan mencetuskan provokasi, mengganggu urusan rasmi serta menimbulkan keresahan dalam kalangan penjawat awam adalah sesuatu yang tidak boleh dipandang ringan.
“Premis kerajaan adalah tempat penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perlu dihormati serta dipelihara daripada sebarang bentuk gangguan yang boleh menjejaskan kelancaran pentadbiran awam.
“Jadi laporan polis ini dibuat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam nak pergi kerja, Seksyen 504 Kanun Keseksaan atas tindakan provokasi yang menggugat keamanan penjawat awam.
“Laporan juga dibuat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkaitan penyalahgunaan rangkaian untuk tujuan gangguan, provokasi dan Akta, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 atas kelakuan menghina penjawat awam,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan berkenaan, pada Khamis.
Sebelum ini, dilaporkan Tei serta beberapa individu beberapa kali mengadakan protes dan perhimpunan di pekarangan Kementerian Komunikasi di sini, dipercayai bagi membantah dakwaan sekatan terhadap akaun media sosialnya.
Mengulas lanjut, Mohd Hisyamuddin berkata, individu berkenaan turut membuat dakwaan terbuka antaranya wujud campur tangan Kementerian Komunikasi dalam isu sekatan akaun media sosial miliknya selain mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap institusi kerajaan tanpa disokong bukti yang sah.
“Sehubungan itu, laporan polis ini dibuat bagi membolehkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden berkenaan dan menentukan sama ada terdapat sebarang pelanggaran undang-undang yang memerlukan tindakan lanjut.
“JKOM berpandangan bahawa kebebasan bersuara yang dijamin dalam sistem demokrasi negara hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab, berlandaskan fakta serta mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa.
“Hak untuk bersuara tidak boleh dijadikan alasan untuk menyebarkan tuduhan yang berpotensi mengelirukan masyarakat, mencemarkan reputasi individu atau institusi, serta menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.
Sementara itu, Mohd Hisyamuddin turut menyeru agar semua pihak agar menggunakan saluran yang betul dan berhemah dalam mengemukakan pandangan, aduan atau mendapatkan penjelasan berhubung sesuatu isu.
Jelasnya, sebarang perbezaan pendapat hendaklah ditangani secara tertib dan mengikut lunas undang-undang demi memelihara keharmonian, kestabilan serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Kerajaan MADANI sentiasa menjunjung prinsip kebebasan bersuara yang bertanggungjawab, kedaulatan undang-undang serta penghormatan terhadap institusi awam. Tiada mana-mana pihak yang boleh bertindak sesuka hati sehingga mengganggu urusan kerajaan
“Ataupun menimbulkan ancaman kepada ketenteraman awam. JKOM akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi membantu siasatan dijalankan dengan adil, telus dan profesional,” katanya.





