
SEPANG – Seramai 13 warganegara asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan yang menyasarkan premis perniagaan dekat sini baru-baru ini.
Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) melalui Bahagian Penguatkuasaan Putrajaya berkata operasi tersebut turut bertindak ke atas kesalahan penyalahgunaan pas oleh warga asing.
“Operasi yang bermula pada 9 Jun, jam 10.20 pagi itu melibatkan pemeriksaan terhadap enam premis perniagaan yang menjalankan aktiviti kedai runcit dan pasaraya mini.
“Hasil pemeriksaan, 13 warganegara asing terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warganegara Indonesia serta tiga lelaki warganegara Bangladesh yang disyaki menjalankan aktiviti perniagaan dan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial dengan berkerja di premis-premis tersebut telah ditahan.
“Modus operandi kebanyakan perniagaan ini adalah disyaki menggunakan lesen perniagaan yang didaftarkan atas nama warganegara Malaysia tetapi dioperasikan sepenuhnya oleh warga asing termasuklah pembayaran dalam talian yang menggunakan kod QR ke akaun bank pemilik yang disyaki warga asing,” katanya dalam satu kenyataan media pada Khamis.
Imigresen turut mendapati sebahagian premis menjual barangan khusus kepada pelanggan warga asing terutamanya warga Bangladesh.
“Kesemua telah ditahan di Depot Imigresen Putrajaya di bawah Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” ujarnya.
Imigresen turut berkata tindakan tegas akan diambil terhada mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).







