
KUALA TERENGGANU – Episod perpecahan hubungan politik antara Pas dan Bersatu dilihat membuka ruang kepada rakyat untuk menilai semula pendekatan politik berasaskan slogan agama yang sekian lama menjadi teras kempen sebahagian pihak.
Penganalisis politik Terengganu, Dr Azrie Azeh berkata perkembangan tersebut membuktikan bahawa Islam sebagai agama tidak boleh disamakan dengan mana-mana parti politik sehingga sebarang kritikan terhadap parti tertentu dianggap sebagai serangan terhadap agama.
Menurut beliau, parti politik merupakan wadah ciptaan manusia yang sentiasa terdedah kepada kelemahan, pertikaian dan perbezaan kepentingan, justeru ia tidak seharusnya diletakkan pada kedudukan yang melangkaui ruang semak dan imbang masyarakat.
“Islam adalah agama yang sempurna, manakala parti politik ialah organisasi manusia yang boleh dipuji, dikritik dan diperbaiki. Menyokong atau tidak menyokong sesebuah parti bukan ukuran tahap keimanan seseorang,” katanya ketika mengulas perkembangan semasa politik pembangkang.
Naratif bahawa penyatuan politik tertentu merupakan manifestasi tunggal perjuangan Islam semakin tercabar apabila Pas dan Bersatu sendiri mengambil keputusan untuk menamatkan kerjasama politik yang sebelum ini dipertahankan atas nama penyatuan ummah.
Menurutnya, situasi tersebut menunjukkan bahawa hubungan antara parti politik hakikatnya dibentuk berdasarkan pertimbangan strategi dan kepentingan semasa, bukannya isu akidah.
“Jika sebelum ini rakyat diminta mempertahankan gabungan atas nama kesatuan umat, maka perpecahan yang berlaku hari ini membuktikan bahawa perbezaan politik tidak boleh dijadikan asas untuk menghukum pihak lain sebagai musuh Islam atau anti-Islam,” katanya.
Beliau turut mengkritik budaya pelabelan politik yang disifatkan semakin membimbangkan dan tidak sihat untuk perkembangan demokrasi negara.
Katanya, persaingan politik seharusnya berasaskan pertarungan idea, rekod pentadbiran dan tawaran dasar yang lebih baik, bukannya membina persepsi ketakutan terhadap pihak yang berbeza pandangan.
“Sejarah politik negara pernah menyaksikan masyarakat Melayu dan umat Islam berpecah akibat tuduhan yang menyentuh soal akidah. Majoriti ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah menegaskan bahawa isu mengkafirkan sesama Muslim adalah perkara yang sangat berat dan tidak boleh dijadikan senjata politik,” ujarnya.
Dalam masa sama,beliau berpandangan dakwaan bahawa DAP atau Pakatan Harapan merupakan ancaman mutlak kepada kedudukan Melayu dan Islam perlu dinilai secara objektif berdasarkan fakta serta pengalaman pentadbiran.
Ketika Pakatan Harapan membentuk kerajaan bersama gabungan lain sebelum ini, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kekal terpelihara, institusi Raja-Raja Melayu terus berfungsi dan peruntukan kepada institusi Islam seperti JAKIM, masjid, sekolah agama, pondok serta tahfiz diteruskan.
“Ini tidak bermakna mana-mana kerajaan bebas daripada kelemahan. Isu kos sara hidup, reformasi institusi dan keberkesanan dasar ekonomi tetap wajar dikritik. Namun kritikan mesti dibuat berdasarkan prestasi dan kesan dasar kepada rakyat, bukannya sentimen identiti politik,” katanya.
Mengulas implikasi perpecahan Pas-Bersatu terhadap landskap politik negara, beliau berkata perkembangan itu sewajarnya menjadi titik perubahan kepada pengundi untuk menilai kepimpinan secara lebih rasional dan matang.
“Rakyat perlu melihat siapa yang benar-benar amanah, berintegriti, cekap mentadbir dan mampu menyelesaikan masalah rakyat. Politik bukan sekadar pertandingan menentukan siapa paling kuat melaungkan slogan agama.
“Ukuran sebenar ialah sejauh mana nilai-nilai Islam seperti keadilan, amanah dan kebajikan berjaya diterjemahkan dalam pentadbiran serta membawa kesejahteraan kepada rakyat,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa kematangan politik hanya dapat dicapai apabila rakyat berani menilai semua parti menggunakan neraca fakta, rekod pentadbiran dan keberkesanan dasar, bukannya terikat dengan label yang berpotensi mencetuskan kebencian serta perpecahan dalam masyarakat.







