
PETALING JAYA – Parti Bersama Malaysia (Bersama) dilihat terdesak hingga calon pilihanraya boleh dipohon menerusi dalam talian, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Beliau berkata, tindakan itu boleh menyebabkan calon yang terpilih bukanlah individu terlatih dalam segi kepimpinan dan fikrah perjuangan politik.
“Mereka ditemuduga terlebih dahulu sebelum disahkan jadi calon.
“Mereka hanya pencari kerja tetapi bukan ahli akar umbi yang komited,” tulisnya menerusi Facebook lewat malam tadi.
Puad turut mendakwa parti yang dipimpin Datuk Seri Rafizi Ramli itu menjadi parti pertama di dunia bertindak sedemikian.
“Rafizi Raja Formula. Bab pilih calon pun dia ada formula tersendiri. Tetapi formula dia jarang menjadi. Apakah calon ‘online’ akan menjadikan Bersama parti berdaya saing?
“Calon pilihan tidak ramai dan tidak ramai ahli PKR ikut jejak Rafizi menyertai Bersama,” ujarnya lagi
Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan mesyuarat khas pada 12 Jun ini bagi membincangkan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, bersekali dengan Mesyuarat Khas PRN Johor ke-16.






