
IPOH – Seorang lelaki warga Bangladesh tidak mengaku memiliki 170 kilogram (kg) minyak masak paket pelbagai jenama yang disita dalam serbuan Ops Tiris 4.0 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak di sebuah premis kediaman di Kawasan Perindustrian Lahat, di sini, pada Isnin.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat dan aduan awam berhubung aktiviti penyimpanan barang kawalan tanpa kebenaran.
Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan anggota penguat kuasa di sebuah stor yang dijadikan bilik kediaman menemukan sebanyak 170 paket minyak masak bersubsidi seberat 1kg setiap satu daripada pelbagai jenama.
“Seorang lelaki warga Bangladesh berusia 39 tahun yang berada di premis berkenaan mengaku sebagai penyewa, namun menafikan minyak masak yang ditemui itu adalah miliknya.
“Pemeriksaan lanjut mendapati lelaki terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran sah daripada Pengawal Bekalan Malaysia (PBM) bagi urusan penyimpanan barang kawalan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Kamalludin berkata, pihaknya turut menyita minyak masak yang ditemui bersama beberapa dokumen berkaitan untuk siasatan lanjut.
“Jumlah keseluruhan nilai sitaan dianggarkan RM425.
“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya.






