
KUCHING – Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang baharu dilantik sebagai rakan strategik, digesa lebih proaktif merangka program pemerkasaan komuniti setempat.
Setiausaha Politik kepada Menteri Komunikasi, Abdullah Izhar Mohamed Yusof berkata, mereka tidak seharusnya sekadar menunggu arahan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sebaliknya perlu menjana idea baharu di lokaliti masing-masing.
Menurut beliau, bagi memastikan kelangsungan serta keberkesanan inisiatif Kerajaan MADANI di peringkat akar umbi, prestasi setiap pengerusi akan dipantau secara berterusan.
“Sekiranya mereka didapati tidak menjalankan amanah serta tanggungjawab yang diberikan, kita akan mempertimbangkan untuk membuat pertukaran pengerusi yang baharu.
“Kerajaan juga menyediakan elaun khusus kepada penasihat NADI yang dilantik sebagai tanda sokongan terhadap komitmen mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Peringkat Negeri Sarawak pada Selasa.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan setakat ini, terdapat 156 pusat NADI yang beroperasi di seluruh Sarawak.
Pada majlis tersebut, seramai 31 Pengerusi Panel Penasihat NADI untuk seluruh Parlimen di Sarawak menerima watikah pelantikan masing-masing, yang disifatkan sebagai pengiktirafan dan amanah besar daripada kerajaan.
Jelasnya, NADI merupakan inisiatif yang berfungsi sebagai hab komuniti untuk capaian internet secara kolektif, pelaksanaan program perkhidmatan pintar, serta platform penyampaian maklumat kerajaan.
“NADI terus diperkasakan selaras dengan aspirasi kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan sosioekonomi, khususnya dalam kalangan komuniti luar bandar, golongan rentan serta kumpulan berpendapatan rendah.
“Justeru, pengerusi yang dilantik harus menterjemahkan mandat ini dengan sebaik-baiknya demi memastikan NADI terus relevan dan berfungsi secara berkesan kepada rakyat,” ujarnya.
Turut hadir Setiausaha Politik kepada Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Ahmad Nazib Johari, Pengarah Pejabat Wilayah MCMC Sarawak Adimen Ajem dan Pengarah MCMC Cawangan Kuching Ts. Scott Kueh Sui Yek.






