
PUTRAJAYA – Tindakan menyekat akses portal MyKhas terhadap Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen hanya melibatkan urusan berkaitan peruntukan khas Perdana Menteri dan tidak menjejaskan kedudukan mereka sebagai wakil rakyat.
Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kemudahan, hak serta elaun yang diperuntukkan kepada Ahli Parlimen melalui institusi Parlimen kekal seperti biasa dan tidak terkesan dengan sekatan tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa portal MyKhas digunakan bagi menguruskan peruntukan khas yang disalurkan oleh Perdana Menteri kepada kawasan Parlimen tertentu.
“Peruntukan khas yang diberikan oleh Perdana Menteri itulah yang dimaksudkan melalui laman sesawang MyKhas.
“Ia merujuk kepada peruntukan khas Perdana Menteri dan tidak menyentuh hak, elaun atau apa-apa aspek lain yang diberikan kepada seorang wakil rakyat melalui Parlimen.
“Oleh itu, sudah pasti ada sesuatu yang telah berlaku yang mengakibatkan sekatan ini dikenakan kepada mereka,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan bahawa tindakan menyekat akses portal berkenaan terhadap kedua-dua Ahli Parlimen itu mempunyai kaitan dengan kecenderungan politik mereka.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata orang ramai perlu mengambil perhatian terhadap kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri (JPM) berhubung perkara tersebut.
Menurut beliau, penduduk di kawasan Parlimen Petaling Jaya dan Subang masih mempunyai akses kepada pelbagai bentuk bantuan kerajaan melalui proses permohonan yang disediakan.
“Saya ambil maklum dan umum juga perlu mengambil maklum bahawa ICU membuat kenyataan bahawa warga dan penduduk di kedua-dua kawasan Parlimen itu masih boleh membuat permohonan yang akan diteliti pihak ICU JPM untuk diluluskan,” katanya.
Terdahulu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Bryan Ng Yih Miin mendakwa sekatan akses portal MyKhas terhadap Lee Chean Chung dan Wong Chen berkait rapat dengan pendirian politik yang diambil oleh kedua-dua pemimpin berkenaan.
Dakwa beliau, tindakan itu dipercayai susulan kehadiran mereka pada majlis pelancaran Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang dipimpin oleh Datuk Seri Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 17 Mei lalu.
Bagaimanapun, kerajaan setakat ini hanya menegaskan bahawa sekatan berkenaan melibatkan urusan peruntukan khas Perdana Menteri dan tidak menjejaskan hak rasmi kedua-dua Ahli Parlimen tersebut.






