
SEREMBAN – Notis pemakluman rasmi tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan telah ditandangani bagi diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pada Jumaat.
Yang Dipertua DUN Negeri Sembilan, Datuk MK Ibrahim Abd Rahman ketika dihubungi memaklumkan tindakan lanjut berhubung notis itu kini terletak di bawah bidang kuasa SPR, termasuk menentukan tarikh yang sesuai untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurut beliau, penyerahan notis itu adalah bagi memaklumkan kepada SPR mengenai pembubaran DUN yang telah diperkenankan oleh Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, pada Khamis.
“Saya sudah pun menandatangani notis pembubaran DUN (Negeri Sembilan) dan akan dihantar kepada SPR pada hari ini (Jumaat),” katanya, pada Jumaat.
Terdahulu, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran DUN di kediamannya dalam satu sidang akhbar khas, sekali gus mengakhiri spekulasi pembubaran DUN sejak beberapa minggu lalu.
Berdasarkan prosedur, notis pembubaran tersebut perlu diserahkan kepada SPR sebelum suruhanjaya itu mengadakan mesyuarat khas bagi menentukan tarikh penting pilihan raya.
Selepas menerima notis berkenaan, terpulang kepada SPR untuk mengambil tindakan lanjut termasuk menetapkan tarikh penamaan calon, hari pengundian serta tempoh berkempen yang difikirkan sesuai bagi pelaksanaan PRN Negeri Sembilan.
PRN ke-15 yang dilaksanakan pada 2023 menyaksikan gabungan politik Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menguasai 31 kerusi DUN,
PH memenangi 17 kerusi diikuti BN dengan 14 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) pula lima kerusi.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN untuk memberikan laluan kepada PRN selepas Johor berbuat demikian pada Isnin lepas.








