
PUTRAJAYA – Keputusan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding secara berasingan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan tidak menjejaskan kerjasama yang terjalin dalam Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hubungan antara pimpinan parti komponen kerajaan kekal baik dan urusan pentadbiran negara berjalan seperti biasa tanpa sebarang gangguan.
Menurut beliau, mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pagi tadi turut mencerminkan semangat kerjasama yang kukuh dalam kalangan anggota pentadbiran kerajaan.
“Tidak ada kesan terhadap Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan dan mesyuarat Jemaah Menteri pada pagi tadi juga berjalan dengan lancar seperti biasa dalam suasana mahabbah dan rasa hormat.
“Ia seperti biasa, tidak ada kesan kepada hubungan yang erat di kalangan pimpinan di peringkat Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar mingguan di sini hari ini.
Beliau mengulas persoalan mengenai kedudukan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan susulan keputusan BN dan PH untuk membawa haluan masing-masing dalam dua pilihan raya negeri yang akan datang.
Dalam pada itu, Fahmi menjelaskan bahawa pelaksanaan PRN di Johor dan Negeri Sembilan perlu diteruskan selepas kedua-dua Dewan Undangan Negeri (DUN) menerima perkenan pembubaran daripada pihak istana.
Katanya, meskipun terdapat pandangan yang mempersoalkan kewajaran mengadakan pilihan raya ketika negara berdepan cabaran ekonomi dan krisis tenaga global, proses demokrasi tetap perlu dihormati.
“Ya, memang ada beberapa pihak termasuk di media sosial yang mempersoal kewajaran untuk mengadakan PRN pada waktu ini, terutama ketika Malaysia berdepan dengan cabaran ekonomi akibat daripada konflik Asia Barat.
“Pada masa sama, kedua-dua negeri Johor dan Negeri Sembilan, permohonan daripada Menteri Besar kedua-dua kerajaan negeri tersebut (untuk membubarkan DUN) telah diperkenan oleh raja yang berdaulat. Di Johor, Pemangku Sultan Johor dan di Negeri Sembilan, Yang di-Pertuan Besar, jadi DUN telah terbubar, kita lalui proses,” ujarnya.
Mengulas laporan mengenai pertemuan antara pimpinan Pas dan UMNO yang dikaitkan dengan usaha menghidupkan semula kerjasama politik menerusi Muafakat Nasional (MN), Fahmi berkata perkara itu tidak disentuh dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
“Tak dibincangkan, mungkin boleh tanya esok sewaktu mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR ,” katanya.
Terdahulu, Presiden Pas, Tan Sri Abdullah Hadi Awang dilaporkan mengesahkan pertemuan antara pemimpin Pas dan UMNO yang berlangsung malam tadi ketika spekulasi mengenai pembentukan Muafakat Nasional 2.0 semakin hangat diperkatakan.
Sementara itu, Fahmi memaklumkan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR akan mengadakan mesyuarat bulanan di Johor esok bagi membincangkan beberapa perkara penting termasuk status penganjuran Kongres Tahunan parti berkenaan.






