
PUCHONG – Persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor serta perkembangan berkaitan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik PKR, malam tadi.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat tersebut turut menumpukan usaha memperkukuh jentera dan kesiapsiagaan parti sebagai persediaan menghadapi pilihan raya yang bakal berlangsung.
Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci sama ada rundingan berhubung pengagihan kerusi antara parti dalam Pakatan Harapan (PH) bagi kedua-dua PRN berkenaan telah dimuktamadkan.
“Setakat laporan semalam, kita buat sedaya upaya kita walaupun untuk Johor notis (pembubaran DUN) yang singkat.
“Saya dalam mesyuarat malam tadi, menyeru rakan dalam pimpinan kerajaan untuk memberi tumpuan kepada soal ekonomi dan masalah rakyat.
“Kita ada masa (sebelum tempoh akhir penggal Parlimen Ke-15) . Biar tumpu dua tiga bulan ini betul-betul untuk pulihkan balik, kemudian pilihan rayalah.
“Bagaimanapun, kerana Johor mahu segera (mengadakan PRN) jadi kita terpaksa lalui,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, di sini, hari ini.
Semalam, DUN Negeri Sembilan yang mempunyai 36 kerusi secara rasmi dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam satu sidang media khas di kediamannya sekali gus menamatkan pelbagai spekulasi mengenai tarikh pembubaran DUN yang berlarutan sejak beberapa minggu lalu.
Negeri Sembilan menjadi negeri kedua membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada PRN selepas Johor yang mengambil langkah sama pada Isnin lalu.
Dalam perkembangan lain, Anwar enggan mengulas lanjut mengenai usaha Pas untuk membentuk Perikatan Nasional Plus (PN+) yang dikatakan membabitkan parti-parti komponen Perikatan Nasional (PN), termasuk Bersatu serta gerakan Reset yang diterajui Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Soal PN biarkan PN, saya tak campur. Saya banyak kerja lain lagi,” katanya.
Foto: Facebook Borhan Aman Shah






