
PUCHONG – Kerajaan Persekutuan tetap mengiktiraf Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan akan terus menjalankan urusan rasmi dengan baginda selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian itu diambil susulan perkembangan terbaharu yang menyaksikan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar dipasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis di Melaka.
Beliau menegaskan bahawa sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja perlu ditangani menerusi saluran perundangan yang sah bagi menjamin kestabilan negara serta mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
Menurutnya, sebarang usaha untuk menyingkirkan atau memecat seseorang raja bukan perkara yang boleh dipandang ringan kerana melibatkan kedudukan institusi tertinggi yang menjadi tunjang sistem pemerintahan negara.
“Krisis di Negeri Sembilan tentunya sedikit menggusarkan kerana institusi Raja ada peraturan, kaedah dan cara kemuliaannya. Jika digugat begini rupa, ia mesej yang sangat tidak baik.
“Saya tidak menafikan hak sesiapa ikut saluran undang-undang dan perlembagaan negeri tetapi hujah harus kuat. Sebab ini kita pandang berat dan saya sudah memberi pandangan ini kepada pihak berkenaan.
“Kita harus ikut saluran mahkamah yang buat keputusan tadi dan dan kita juga sudah beri nasihat tetapi diteruskan pengisytiharan di hotel,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, di sini, hari ini.
Terdahulu, Tunku Nadzaruddin dipasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis yang dikendalikan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad yang bertindak mewakili Undang Yang Empat.
Pemasyhuran berkenaan dilihat menambah ketegangan dalam kemelut perebutan takhta yang berlarutan sejak beberapa bulan lalu.
Pada April lalu, empat undang termasuk Datuk Mubarak Thahak dari Sungai Ujong yang kedudukannya masih menjadi pertikaian, mengumumkan penamatan kedudukan Tuanku Muhriz serta menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai pemerintah baharu negeri itu.
Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menolak tindakan tersebut dan menegaskan ia tidak mempunyai asas yang sah kerana Mubarak tidak diiktiraf sebagai Undang yang berkuasa.
Dalam pada itu, Anwar menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan institusi Raja-Raja Melayu yang menjadi sebahagian daripada asas kenegaraan Malaysia.
“Kita sebagai Kerajaan Persekutuan, walaupun tidak terbabit secara langsung, harus memberikan nasihat (kepada Raja-Raja Melayu).
“Terutama bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia, sistem raja ini bukan hanya namanya, tetapi kemuliaannya, beberapa kaedah dan peraturannya. Sebab ini kita tetap pertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan raja.
“Saya juga menyokong penuh tindakan Aminuddin yang menyatakan oleh kerana simpang siur tidak tentu arah ini, sebaiknya diadakan pilihan raya dan Tuanku Muhriz juga sudah beri perkenan,” katanya.






