
TATAU – Program Hasrat MADANI 2026 berkonsepkan gotong-royong anjuran Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Zon Sarawak berjaya menceriakan persekitaran Gereja St Peter pada Sabtu.
Program melibatkan komuniti sekitar Parlimen Selangau itu diketuai oleh Timbalan Pengarah JKOM Zon Sarawak, Judy Henry menerusi aktiviti membersihkan kawasan gereja dan penanaman anak pokok.
Turut dilaksana adalah inisiatif peningkatan aspek keselamatan melalui kemudahan pemasangan alat pemadam api baharu di premis ibadat berkenaan.
Berucap pada program tersebut, Judy berkata inisiatif itu bukan sekadar menyemai semangat kesukarelawanan, malah menjadi wadah memperkenalkan fungsi JKOM serta menyampaikan aspirasi Malaysia MADANI kepada masyarakat.
“Kami menggalakkan masyarakat supaya tidak segan mengemukakan sebarang permasalahan kepada pegawai JKOM di lapangan agar ia dapat dipanjangkan kepada agensi berkaitan untuk tindakan penyelesaian.
“Diharapkan juga program seumpama ini dapat dilaksana bersama wakil rakyat pada masa hadapan supaya isu tempatan dapat disuarakan secara terus,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi Parish Council Gereja St Peter Tatau, Lingoh Masam menzahirkan rasa syukur atas kelancaran program kemasyarakatan yang memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat.
“Kami berterima kasih dan berharap usaha baik seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai penduduk di sekitar Tatau serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus,” katanya.
Terdahulu, program diserikan dengan simbolik penyerahan anak pokok bunga oleh Judy kepada Lingoh sebelum ditanam secara bersama di pekarangan gereja, sekali gus menterjemah nilai perpaduan komuniti majmuk.






