Jawatankuasa Kabinet ditubuh perkasa penggunaan produk tempatan

SANDAKAN – Kerajaan Persekutuan bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan sebagai langkah memperkukuh pelaksanaan gerakan Jom Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung pada 15 Julai lalu, susulan pelancaran inisiatif Jom Malaysia pada 27 Jun.

Menurutnya, jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Fadillah Yusof, manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bertindak sebagai urus setia.

“Matlamat utama penubuhan jawatankuasa ini adalah untuk memperkemaskan hala tuju serta penyelarasan di peringkat kementerian, agensi kerajaan dan semua pemegang taruh supaya agenda memperkasakan produk tempatan dapat dilaksanakan secara lebih menyeluruh.

“Transformasi yang dibawa menerusi Jom Malaysia bukan sekadar pertukaran nama atau logo, sebaliknya satu perubahan menyeluruh yang berasaskan empat teras utama,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Festival Jom Malaysia di Kompleks Sukan Sandakan, di sini pada Sabtu.

Tambah Armizan, teras pertama ialah menjadikan Jom Malaysia sebagai satu gerakan nasional yang didorong semangat patriotisme ekonomi bagi meningkatkan penggunaan dan pembelian produk tempatan.

“Gerakan itu tidak hanya melibatkan kerajaan, tetapi turut menghimpunkan sektor swasta, perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta rakyat.

“Teras kedua ialah pendekatan ‘whole-of-nation’, iaitu memastikan semua pihak memainkan peranan dan tidak hanya bergantung kepada kementerian atau agensi kerajaan semata-mata.

“Pendekatan ini membolehkan industri, PMKS dan masyarakat bersama-sama menjayakan agenda nasional ini,” ujarnya.

Armizan berkata, teras ketiga memberi penekanan kepada keterangkuman produk apabila skop promosi diperluaskan bukan sahaja kepada barangan, malah melibatkan sektor perkhidmatan yang ditawarkan pengusaha tempatan.

“Kementerian seperti Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanaan (KPKM) serta kementerian lain akan diselaraskan di bawah satu agenda bersama bagi mengelakkan pelaksanaan secara berasingan.

“Teras keempat pula adalah memperluaskan pasaran produk tempatan ke peringkat antarabangsa supaya ia bukan sahaja menjadi pilihan rakyat Malaysia, malah mampu bersaing di pasaran global,” kongsinya.

Dalam pada itu, Armizan berkata, KPDN kini sedang memperhalusi terma rujukan jawatankuasa berkenaan sebelum dikemukakan kepada pengerusi bagi membolehkan mesyuarat pertama diadakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, langkah itu diyakini mampu mengurangkan kebergantungan negara terhadap produk import, selain membantu meningkatkan daya saing pengusaha tempatan yang kini berdepan persaingan daripada produk luar yang dipasarkan menerusi platform e-dagang.

Sementara itu, beliau berkata, sambutan terhadap Jom Malaysia amat menggalakkan, namun kerajaan mahu memastikan inisiatif berkenaan dilaksanakan secara berterusan dan bukannya sekadar kempen bersifat sementara.

“Melalui Jawatankuasa Kabinet ini, setiap kementerian akan membentangkan laporan pelaksanaan dan impak yang dicapai supaya keberkesanan inisiatif ini dapat dinilai secara menyeluruh, termasuk dari segi nilai jualan serta sumbangannya kepada ekonomi negara,” jelasnya.

Program Jom Malaysia selama tiga hari bermula semalam itu menghimpunkan lebih 100 usahawan tempatan, pemain industri dan rakan strategik.

Antara pengirisan menarik sepanjang festival itu adalah pameran informatif dasar dan program kerajaan, reruai jualan PMKS, program Jualan Rahmah MADANI serta aktiviti hiburan dan sukan rakyat.

Related Posts

Anak-anak muda, bekerjalah bersama dan jadikan Malaysia negara hebat – Anwar

PERMATANG PAUH – Anak muda dinasihatkan agar tidak terpengaruh dengan fahaman kebencian dan perpecahan kerana ia hanya akan melemahkan negara, sebaliknya mereka diminta bangkit sebagai satu pasukan untuk bersama-sama membina…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Anwar bayang pengumuman besar F1 Ahad ini, Sepang berpotensi kembali jadi tuan rumah

PERMATANG PAUH – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkembangan lanjut mengenai kemungkinan Malaysia kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) akan diumumkan pada Ahad ini. “Saya akan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Jawatankuasa Kabinet ditubuh perkasa penggunaan produk tempatan

Jawatankuasa Kabinet ditubuh perkasa penggunaan produk tempatan

Asyraf Wajdi biadab, perlu minta ampun kepada Yang di- Pertuan Besar NS – Aminuddin

Asyraf Wajdi biadab, perlu minta ampun kepada Yang di- Pertuan Besar NS – Aminuddin

239 ahli Pengakap Malaysia Perak terima anugerah tertinggi

239 ahli Pengakap Malaysia Perak terima anugerah tertinggi

Selangor kekal destinasi pelancongan utama negara

Selangor kekal destinasi pelancongan utama negara

LRA Apas Balung 1 dan 2 henti sementara, LRA Cinta Mata serta LRA Utara alami gangguan bekalan air

LRA Apas Balung 1 dan 2 henti sementara, LRA Cinta Mata serta LRA Utara alami gangguan bekalan air

Belia perlu fahami MA63 daripada sumber rasmi – Mustapha

Belia perlu fahami MA63 daripada sumber rasmi – Mustapha