KUALA LUMPUR – Malaysia perlu memastikan kemajuan dalam bidang teknologi dan inovasi bergerak seiring dengan pembinaan insan yang berteraskan iman, ilmu dan akhlak bagi melahirkan masyarakat yang seimbang serta berdaya saing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan itu selaras dengan gagasan Malaysia MADANI yang meletakkan aspek kemanusiaan dan pembentukan sahsiah sebagai asas utama pembangunan negara.
Menurut beliau, dunia kini menyaksikan persaingan sengit dalam penguasaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan pengkomputeran kuantum, namun kemajuan tersebut tidak seharusnya menyebabkan nilai moral serta etika diketepikan.
“Penguasaan ilmu tidak boleh dipisahkan daripada keperluan memperkukuh keimanan dan memperbaiki akhlak kerana itu yang membezakan pendekatan negara MADANI daripada model pembangunan lain.
“Semua negara di dunia sekarang mengejar kemajuan, pembangunan dan menguasai AI. Saya sendiri hari ini menghadiri taklimat mengenai pengkomputeran kuantum (Quantum Computing) yang menjadi teknologi dan ilmu baharu.
“Tetapi apabila disebut negara MADANI, terasnya mesti nilai dan akhlak. Justeru menguasai ilmu tidak boleh lari daripada hakikat keperluan memupuk iman, menambah ilmu dan memperbaiki akhlak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ilmu MADANI bersama Sheikh Muhammad Hydara Al-Jilani yang berlangsung di Masjid Al-Sultan Abdullah, di sini, malam tadi.
Program berkenaan turut menghimpunkan beberapa sarjana Islam terkemuka dunia termasuk Habib Ali Zaenal Abidin Al Hamid, Sheikh Mohammed Amin Kholwadia, Sheikh Dr Ahmed Mohamed Saad Al-Azhari, Sheikh Dr Walead Mohammed Mosaad dan Sheikh Abdullah Muhammad Bilal.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Dalam ucapannya, Anwar turut menegaskan kepentingan penguasaan teknologi strategik dan inovasi baharu bagi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif.
Beliau berkata, negara perlu memberi perhatian terhadap bidang-bidang berimpak tinggi seperti teknologi hidrogen, peralihan tenaga dan pembangunan kenderaan elektrik (EV) sebagai pemacu pertumbuhan masa hadapan.
“Kegagalan menguasai ilmu dan teknologi akan menyebabkan sesebuah negara terus mundur serta dipandang rendah oleh masyarakat dunia.
“Tamadun Islam tidak terbina semata-mata atas keyakinan, tetapi berasaskan ilmu dan keyakinan. Dengan penguasaan ilmu serta teknologi, kita mampu mempengaruhi rantau dan dunia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata budaya menuntut ilmu perlu terus diperkukuh dalam kalangan umat Islam, khususnya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia yang menuntut kefahaman, toleransi dan penghayatan terhadap nilai kehidupan yang lebih baik.
Menurut beliau, ilmu yang diperoleh tidak seharusnya terhenti pada peringkat teori atau perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan dalam bentuk tindakan dan amalan yang memberi manfaat kepada masyarakat.
“Justeru, ilmu tidak boleh sekadar disampaikan atau diperkatakan, sebaliknya perlu diterjemahkan melalui tindakan dan pengurusan yang baik.
“Sebab itu kita harus ingat tanggungjawab kita bukan hanya menimba ilmu, tetapi mengamalkannya dengan penuh kekuatan, integriti dan keikhlasan,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa gabungan antara ilmu, keimanan dan akhlak merupakan asas penting dalam membina sebuah negara maju yang bukan sahaja cemerlang dari segi teknologi, malah kukuh dari aspek nilai dan kemanusiaan.






