PORT DICKSON – Perubahan pembangunan yang semakin ketara di Port Dickson sejak beberapa tahun kebelakangan ini mendorong sebahagian pengundi berharap kesinambungan pentadbiran kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dapat diteruskan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos ini.
Tinjauan The Malaysia Press (TMP) di sekitar Linggi mendapati rata-rata penduduknya mengakui terdapat perubahan yang boleh dilihat daripada segi pembangunan, kemudahan awam dan kebajikan rakyat sejak 2018.
Bagi penduduk Kampung Pengkalan Durian, Mohd Walid, 49, perubahan di Port Dickson hari ini jauh berbeza berbanding dahulu apabila kawasan yang pernah dianggap mundur kini semakin tersusun dan menjadi tumpuan orang ramai.
Kata pegawai RELA itu, sebagai penduduk yang menetap di kawasan itu sekian lama, dia dapat melihat sendiri perubahan yang berlaku sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini.

“Dari segi kemajuan memang Tok Min (Aminuddin) bukan kita nak kata Menteri Besar dulu tak bagus tapi kita duduk kampung orang melihat pembangunan puluhan tahun dahulu dengan sekarang memang jauh beza.
“Kalau tengok Negeri Sembilan khususnya Port Dickson kalau kita tengok dulu mundur dengan bangunan terbengkalai, lepas Tok Min ambil alih dari jadi suram sekarang banyak pembangunan, khususnya dalam memperkasa ekonomi pelancongan di bawah kerajaan Tok Min.
“Kalau dahulu pukul 8, pukul 9 nak keluar pun takut tapi sekarang Port Dickson pukul 1, pukul 2 pun masih ramai lagi. Kita nampak sudah ada tarikan lebih ramai pengunjung. Homestay, hotel selalu penuh selain perniagaan kecil kecilan boleh menjana pendapatan rakyat,” katanya ketika ditemui, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohd Walid berkata, pembangunan yang berlaku bukan sahaja tertumpu di bandar, malah turut melibatkan pekan kecil dan kawasan kampung yang menerima pelbagai projek pembangunan sehingga meningkatkan taraf ekonomi penduduk.
“Kita nak yang bagus, cara jaga baik, urusan pembangunan kemajuan dengan berkualiti lepastu tengok rakyat bawahan beri bantuan serta memperkasa ekonomi, Insya-Allah… kita akan sokong.
“Kalau nak cakap parti itu parti ini sebab bersengkokol tapi kalau rakyat senang cerita makan pasir makan batu susah juga… maaf cakap, kalau lebih sakau pun susah, nak sakau pun berpada padalah jangan sampai lingkup punah rakyat ni sampai makan pasir batu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengundi DUN Linggi, Zulkifli Abd. Ghani, 61, berpandangan, prestasi Aminuddin sebagai Menteri Besar secara keseluruhannya adalah baik, terutama dalam aspek pembangunan negeri dan kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, pesara guru itu merayu pihak berwajib khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi baharu yang bakal dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kelak memberi perhatian serius terhadap masalah banjir itu.
Menurutnya, perlu ada perancangan khusus bagi mengatasi masalah itu sama ada menaik taraf sistem perparitan atau memperdalamkan lagi Sungai Linggi bagi mengelakkan limpahan air mendadak setiap kali hujan lebat.
“Lebih memburukkan keadaan juga apabila berlaku banjir termenung yang mengambil masa beberapa hari untuk surut sehingga menjejaskan aktiviti harian penduduk selain mengundang risiko kesihatan.
“Penduduk juga berharap bantuan yang setimpal dan segera dapat disalurkan setiap kali berlaku bencana banjir kerana kami menanggung kerugian yang besar dan untuk memulakan kehidupan semula juga memerlukan kos tinggi,” katanya.
Bagi wakil Penduduk Perumahan Rakyat Pengkalan Durian, Rosidi Ahmad, 59, pembangunan dan pelbagai inisiatif kebajikan yang diperkenalkan kerajaan negeri sepanjang pentadbiran Aminuddin sememangnya memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, antara bantuan yang diterima penduduk termasuk bantuan perkahwinan serta pelbagai bentuk bantuan kebajikan kepada golongan yang layak, sekali gus membuktikan kerajaan negeri tidak mengabaikan kebajikan rakyat.
Namun, beliau mengakui sentimen politik dan persepsi terhadap parti yang diwakili Aminuddin menjadi antara faktor yang mempengaruhi sokongan sebahagian pengundi, walaupun prestasi beliau sebagai pemimpin negeri dilihat baik.
“Sentimen politik dan persepsi terhadap PH yang diwakili Aminuddin menjadi antara faktor yang mempengaruhi sokongan sebahagian pengundi, walaupun prestasi beliau sebagai pemimpin negeri dilihat baik.
“Tok Min dia dari segi pemerintahan bagus, pelbagai bantuan dapat, ekonomi diperkasa dengan sebaiknya tetapi isunya DAP ini orang tak suka sebab parti itu banyak membuat kerosakan. Tok Min boleh tenggelam disebabkan sentimen anti DAP,” katanya.


