
MARANG – Seorang lelaki Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang penunggang motosikal dalam kemalangan di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Rusila, minggu lalu.
Tertuduh, Shah Dullah Abul Hashim, 20, yang tidak bekerja, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Athirah Hashim.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa memandu sebuah Proton Saga secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan dengan sebuah motosikal Yamaha RXZ yang ditunggang Saifullah Isyraf Shamsudin, 27, sehingga mengakibatkan kematian mangsa.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Kilometer 12.5 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan berhampiran Kampung Rusila pada jam 6 petang, 27 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Maisarah Abdul Razak, manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Ramlan Taib.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM6,000 dengan seorang penjamin.
Selain itu, tertuduh turut diperintahkan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.





