PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) akan mempertaruhkan lebih ramai muka baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sebagai sebahagian usaha menyuntik nafas segar dalam landskap kepimpinan negeri itu.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, berkata, gabungan itu juga akan menampilkan gabungan antara pemegang jawatan sedia ada dengan muka-muka baharu bagi mewarnai bakat kepimpinan di Johor.
“BN juga akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disukai) pada PRN Johor itu nanti.
“Ertinya, tiga falsafah ini terus dikekalkan dan insya-Allah, kombinasi akan kita lakukan antara pemegang-pemegang jawatan yang ada dan juga muka-muka baharu,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), pada Khamis.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid memaklumkan, pihaknya akan memuktamadkan senarai akhir nama calon itu dalam tempoh yang paling singkat.
“Kami akan umumkan nama-nama calon itu, insya-Allah, seminggu sebelum hari penamaan calon,” katanya
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan (PH) di Johor memaklumkan beliau akan berunding dengan Ahmad Zahid susulan keputusan BN Johor untuk bertanding solo.
Bagaimanapun, selepas dua minggu kenyataan itu dikeluarkan, tiada sebarang rundingan dilaporkan berlaku antara dua individu berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mengumumkan BN Johor akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Johor.
Menteri Besar Johor itu memaklumkan, keputusan bergerak solo sudah mendapat persetujuan pucuk pimpinan parti.
Pada PRN Johor ke-15 Mac 2022 lalu, BN membentuk kerajaan negeri apabila menang 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
PH pula menang 12 kerusi, dengan 10 dimenangi DAP, selain PKR dan AMANAH masing-masing satu kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) menang tiga, manakala MUDA satu.








