JOHOR BAHRU – Barisan Nasional (BN) Johor bakal melancarkan jentera Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 menerusi satu himpunan besar-besaran yang dijadualkan berlangsung di Stadium Educity, Kota Iskandar pada Ahad ini.
Majlis pelancaran yang dijangka bermula pada jam 3.30 petang itu akan dirasmikan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri.
Turut dijangka hadir ialah Pengerusi BN Johor merangkap Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bersama kepimpinan parti di peringkat negeri dan pusat.
Ketua Penerangan UMNO Johor, Md Israk Abdullah berkata, pelancaran jentera berkenaan bukan sekadar memenuhi tradisi parti menjelang pilihan raya, malah menjadi simbol kesatuan dan kesiapsiagaan seluruh jentera BN dalam menghadapi PRN Johor yang bakal berlangsung.
Menurut beliau, program itu juga bertujuan memperlihatkan kekuatan organisasi parti serta memperkukuhkan semangat perjuangan dalam kalangan ahli dan penyokong BN.
“Pelancaran ini menjadi manifestasi solidariti dan kesatuan utuh jentera BN dalam mendepani cabaran pilihan raya. Kehadiran penyokong ke stadium juga akan membuktikan sokongan tidak berbelah bahagi rakyat terhadap kepimpinan BN yang selama ini memacu kemajuan Johor,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Beliau berkata, kehadiran orang ramai pada majlis tersebut bukan sahaja memeriahkan acara, malah menjadi lambang keyakinan rakyat terhadap kemampuan BN untuk terus menerajui negeri ini.
“Kehadiran anda bukan sekadar memenuhi ruang stadium, tetapi menjadi bukti bahawa semangat perjuangan BN terus kukuh dan mendapat kepercayaan rakyat.
“Bersama-sama kita tunjukkan kekuatan jentera, kesatuan ahli serta iltizam untuk memastikan Johor terus maju, stabil dan makmur,” katanya.
Sehubungan itu, Md Israk mengajak seluruh ahli, keluarga, sahabat serta penyokong BN hadir beramai-ramai ke Stadium Educity dengan mengenakan baju korporat rasmi BN berwarna biru sebagai tanda sokongan dan semangat kebersamaan menjelang PRN Johor ke-16.
Pelancaran jentera tersebut dilihat sebagai antara langkah awal penting BN Johor dalam menggerakkan seluruh kekuatan parti bagi menghadapi pilihan raya negeri yang bakal menentukan hala tuju pentadbiran Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.







