CADANGAN mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) secara serentak di seluruh negara perlu dilaksanakan menerusi persetujuan nasional serta reformasi institusi yang menyeluruh, bukannya melalui paksaan politik, kata penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya (UM), Profesor Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi.
Beliau berkata, meskipun pelaksanaan pilihan raya secara serentak berpotensi menjimatkan kos dan meningkatkan kecekapan pengurusan pilihan raya, langkah itu perlu mengambil kira kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara Persekutuan yang menghormati autonomi negeri.
Menurutnya, sebarang usaha untuk menyelaraskan jadual pilihan raya perlu diputuskan menerusi rundingan melibatkan Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, parti-parti politik dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mengelakkan persepsi bahawa terdapat pihak yang cuba memusatkan kuasa politik.
“Pada prinsipnya, saya bersetuju dengan cadangan supaya Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan secara serentak di seluruh negara, termasuk Sabah.
“Namun, pelaksanaannya perlu dilakukan secara tertib, berhemah dan berlandaskan semangat kebersamaan, serta tidak dilihat sebagai satu helah politik.
“Lebih penting, cadangan ini wajar dijadikan sebahagian daripada agenda reformasi institusi negara. Antaranya ialah keperluan menetapkan dan mengumumkan tarikh pilihan raya lebih awal, sekurang-kurangnya setahun sebelum ia diadakan.
“Situasi ini dapat dilihat di United Kingdom (UK), yang memberikan ruang kepada semua pihak untuk membuat persiapan lebih awal serta mengelakkan persepsi bahawa penentuan tarikh pilihan raya dibuat berdasarkan kepentingan politik semasa,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP) pada Rabu.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata, model yang lebih realistik ialah mewujudkan satu kalendar pilihan raya nasional berasaskan persetujuan bersama, berbanding menetapkan semua negeri mengikut jadual yang sama.
Beliau berpandangan negeri-negeri yang bersedia seperti Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Perlis boleh mempertimbangkan penyelarasan tarikh pilihan raya, manakala Sabah dan Sarawak diberikan ruang untuk menentukan jadual masing-masing berdasarkan sejarah politik dan autonomi yang dimiliki.
Katanya, pendekatan itu lebih sesuai dengan realiti politik Malaysia yang mempunyai kepelbagaian latar belakang pentadbiran dan perundangan di setiap negeri.
“Sebaliknya, negeri yang tidak bersetuju tidak boleh dipaksa mengikut jadual yang sama kerana tindakan sedemikian boleh mewujudkan persepsi bahawa Putrajaya cuba menghakis autonomi negeri.
“Model yang lebih realistik ialah membentuk satu persetujuan ke arah kalendar pilihan raya nasional,” katanya.
Beliau berkata, pelaksanaan pilihan raya diadakan secara serentak berpotensi mengurangkan keletihan pengundi, menjimatkan kos pentadbiran serta membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada urusan pembangunan selepas pilihan raya.
Bagaimanapun, Awang Azman mengingatkan bahawa model itu perlu diumumkan lebih awal dan dilaksanakan secara telus bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi terus terpelihara.
“Oleh itu, sekiranya model pilihan raya serentak mahu dilaksanakan, ia perlu dianggap sebagai satu bentuk reformasi institusi yang dirancang dengan teliti.
“Pelaksanaannya perlu diumumkan sekurang-kurangnya setahun lebih awal serta disandarkan kepada prinsip perundingan, dialog dan kestabilan politik.
“Rakyat berkemungkinan besar dapat menerima pendekatan tersebut jika ia dilaksanakan secara telus dan berasaskan persetujuan bersama. Tetapi, jika ia dilihat sebagai usaha menggunakan kuasa politik secara unilateral, keyakinan pengundi boleh terjejas,” ujarnya.




