KUALA LUMPUR – Harga runcit petrol RON97, petrol RON95 tanpa subsidi dan diesel di Semenanjung mencatatkan penurunan bagi tempoh 4 hingga 10 Jun ini susulan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa pada minggu sebelumnya.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan harga RON97 dikurangkan sebanyak 30 sen kepada RM4.35 seliter berbanding RM4.65 seliter sebelum ini.
Harga RON95 tanpa subsidi pula turun 20 sen daripada RM3.92 kepada RM3.72 seliter, manakala harga diesel di Semenanjung ditetapkan pada RM4.67 seliter berbanding RM4.87 seliter sebelum ini.
Menurut MoF, pelarasan harga tersebut dibuat berdasarkan formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang digunakan bagi menentukan harga runcit bahan api setiap minggu.
Dalam masa sama, kerajaan terus mengekalkan harga bahan api bersubsidi untuk rakyat dan sektor yang layak, termasuk RON95 di bawah program BUDI95 pada RM1.99 seliter, diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pada RM2.15 seliter, Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) pada RM2.05 seliter serta Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) pada RM2.15 seliter.
Menurut kenyataan itu, pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744.
“Ini bermakna Kerajaan MADANI menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95. Namun, dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.
“Harga diesel tanpa subsidi RM4.67 seliter pula merupakan lebih dua kali ganda harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, bagi mengurangkan impak harga diesel kepada rakyat melalui kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna,” menurut kenyataan itu.
MoF menjelaskan bahawa penurunan harga runcit minggu ini tidak semestinya mencerminkan keadaan pasaran petroleum global yang benar-benar stabil kerana risiko kenaikan harga masih wujud dalam jangka sederhana.
Kata kementerian itu, konflik serta perkembangan geopolitik semasa di Asia Barat terus memberi tekanan terhadap rantaian bekalan petroleum global.
“Mutakhir ini, negara-negara pengimport utama di Asia terpaksa meningkatkan pembelian minyak mentah daripada sumber alternatif bagi menampung gangguan bekalan dari Asia Barat. Walaupun import minyak mentah dari Amerika Syarikat ke Asia meningkat ke paras tertinggi, peningkatan tersebut masih belum mencukupi untuk menggantikan kehilangan bekalan melalui laluan perdagangan utama yang terjejas.
“Keadaan ini menunjukkan pasaran petroleum global masih berdepan kekangan bekalan fizikal, meskipun purata harga pasaran minggu terdahulu mencatatkan penyusutan. Sekiranya konflik berlarutan, risiko penyusutan inventori global dan kekurangan bekalan boleh memberi tekanan baharu kepada harga minyak mentah serta produk petroleum dalam tempoh mendatang,” kata MoF.
Sehubungan itu, Kerajaan MADANI menggesa rakyat supaya terus menggunakan bahan api secara berhemah bagi memastikan keterjaminan bekalan dan mengurangkan pembaziran sumber tenaga negara.




