
KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan langkah penjimatan yang dilaksanakan Kerajaan Persekutuan bukan bertujuan mengurangkan perkhidmatan kepada rakyat, sebaliknya memastikan lebih banyak dana dapat disalurkan kepada program kebajikan dan pembangunan.
Katanya, kerajaan mengambil pendekatan berjimat cermat dalam perbelanjaan pentadbiran termasuk mengehadkan lawatan ke luar negara, mengurangkan saiz delegasi rasmi dan mengekang penggunaan kemudahan mewah.
“Semalam saya umumkan peruntukan bagi semua kementerian harus dipotong. Tidak untuk pendidikan, tidak untuk kesihatan, tidak untuk infrastruktur asas termasuk di Sabah.
“Tapi semua perbelanjaan-perbelanjaan lain umpamanya lawatan ke luar negara, itu menteri Persekutuan sendiri dihadkan melainkan lawatan yang wajib ASEAN atau BRICS atau APEC,” katanya semasa berucap merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan KDCA, pada Sabtu.
Tambahnya, lawatan yang tidak mempunyai keperluan mendesak dibatalkan, manakala jumlah anggota rombongan rasmi turut dikurangkan.
“Lawatan-lawatan sekadar belajar dan sebagainya semua dibatalkan di peringkat Persekutuan. Kalau rombongannya enam orang, jadi dua. Kalau hotelnya sampai Royal Suite, diturun jadi Junior Suite.
“Kebanyakan kursus dan program melibatkan pimpinan kerajaan juga digalakkan diadakan di fasiliti kerajaan bagi mengurangkan kos.
“Kebanyakan kursus-kursus pimpinan kerajaan yang ada saban hari dan saban minggu diadakan sebaik mungkin di dewan-dewan jabatan kerajaan.
“Tidak ke hotel-hotel yang mewah,” jelasnya.
Dalam pada itu, pendekatan berhemah dalam mengurus kewangan negara perlu dilaksanakan bagi memastikan negara tidak berdepan tekanan fiskal yang lebih besar pada masa depan.
“Kalau kita tidak gunakan kebijaksanaan untuk cermat dan berhemah, negara kita akan ditimpa bencana.
“Hasil penjimatan yang dilaksanakan kerajaan tidak dibiarkan begitu sahaja, sebaliknya disalurkan semula kepada rakyat melalui pelbagai program bantuan dan pembangunan.
“Wang ini yang diselamatkan dipindahkan.
“Sebab itu saudara lihat umpamanya beberapa langkah yang kita ambil walaupun masih diserang, langkah untuk membanteras rasuah dan penyalahgunaan kuasa,” kongsinya.
Selain itu katanya, langkah penjimatan dan disiplin fiskal akan terus diperkukuh bagi memastikan setiap ringgit wang awam dapat dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat serta pembangunan negara.







