
KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menyambut baik pengumuman kenaikan bayaran interim pemberian khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketuanya, Zaidi Jatil berkata, AMK Sabah melihat pengumuman tersebut sebagai satu lagi bukti komitmen serta kesungguhan Kerajaan MADANI dalam memberikan perhatian serius terhadap tuntutan dan hak Sabah yang telah sekian lama diperjuangkan.
“Untuk rekod, sebelum perubahan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2022, Sabah hanya menerima sekitar RM26.7 juta setahun selama berdekad-dekad walaupun isu tuntutan 40 peratus hasil termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Namun di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, peningkatan bayaran interim kepada Sabah menunjukkan perkembangan yang amat ketara dan konsisten bermula 2022 hingga 2026.
“AMK Sabah berpandangan bahawa perkembangan ini membuktikan bahawa suara dan tuntutan rakyat Sabah bukan sahaja didengari, malah sedang ditangani secara berperingkat melalui pendekatan yang lebih bertanggungjawab dan konstruktif,” kongsinya.
Dalam masa sama, Zaidi berkata, AMK Sabah turut menegaskan perjuangan berkaitan hak Sabah termasuk tuntutan di bawah MA63 perlu terus diperkasakan sehingga penyelesaian yang lebih menyeluruh dan muktamad dapat dicapai selaras dengan semangat Perjanjian Malaysia 1963 serta Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.
“AMK Sabah percaya pendekatan matang, hubungan kerjasama yang baik antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan serta kestabilan politik adalah antara faktor penting dalam memastikan agenda memperkasa Sabah dapat terus dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Justeru, pengumuman peningkatan kepada RM1.5 bilion ini wajar dilihat sebagai satu pencapaian besar yang memberi manfaat langsung kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat Sabah,” kongsinya.
Tambah Zaidi, AMK Sabah akan terus komited memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah secara konstruktif demi memastikan negeri ini terus maju, diperkasa dan mendapat hak yang sewajarnya dalam Persekutuan Malaysia.
Beliau berkata demikian selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kenaikan bayaran interim pemberian khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion semasa merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA), Penampang, pada Sabtu.





