KUALA LUMPUR – Pengiktirafan berprestij yang diterima Lembaga Tabung Haji (TH) daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi menjadi bukti keupayaan Malaysia mengekalkan kecemerlangan dalam pengurusan serta kebajikan jemaah haji.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pencapaian tersebut mencerminkan mutu perkhidmatan tinggi yang diberikan TH kepada jemaah haji Malaysia sepanjang musim haji.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga TH dan petugas haji yang memainkan peranan penting dalam memastikan urusan jemaah berjalan lancar.
“Alhamdulillah, tahniah kepada TH atas pengiktirafan berprestij yang diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sekali gus mengiktiraf kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji.
“Kejayaan ini mencerminkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi seluruh warga TH serta petugas haji yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengurus jemaah haji Malaysia,” katanya.
Kejayaan itu menyusuli pencapaian TH mempertahankan Anugerah Labbaitom buat lima tahun berturut-turut, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai antara model pengurusan haji terbaik di dunia.
Anugerah Labbaitom diberikan setiap tahun oleh Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi kepada agensi pengurusan haji yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam mengendalikan jemaah dari seluruh dunia.
Pada musim haji 1447H/2026M, TH turut mengekalkan Diamond Award buat kali kedua berturut-turut, iaitu pengiktirafan tertinggi yang diberikan kepada institusi pengurusan haji terbaik dunia.
Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Amal by Malaysia Airlines yang menerima anugerah Misk Al-Khitam atas kecemerlangan menguruskan prosedur ketibaan jemaah haji bagi musim haji 1447 Hijrah.
Menurut beliau, pencapaian berkenaan membuktikan kemampuan organisasi dan syarikat tempatan menyediakan perkhidmatan yang memenuhi standard antarabangsa.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan serta mengharumkan nama negara dalam usaha melayani para tetamu Allah SWT,” katanya.
Foto: Tabung Haji






