
KOTA KINABALU – Pertandingan Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 tampil dengan beberapa pembaharuan besar termasuk pengenalan sistem penilaian dua peringkat serta penambahan jumlah peserta yang layak ke pusingan seterusnya, sekali gus dijangka meningkatkan tahap persaingan dan kualiti pertandingan tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Unduk Ngadau Kaamatan 2026, Dr Mary Gambidau berkata, seramai 53 finalis mewakili daerah-daerah dan cawangan KDCA termasuk penyertaan dari Semenanjung Malaysia akan berkampung di Hilton Kota Kinabalu bermula hari ini sehingga malam kemuncak pertandingan pada 31 Mei nanti.

“Pentas akhir Unduk Ngadau Kaamatan 2026 akan berlangsung di Hongkod Koisaan KDCA dan menyaksikan perubahan ketara apabila seramai 25 peserta terbaik akan dipilih ke pusingan seterusnya berbanding hanya 15 peserta pada edisi terdahulu.
“Penambahbaikan ini diperkenalkan bagi memberi lebih ruang dan peluang kepada para peserta untuk menyerlahkan potensi, personaliti serta kemampuan masing-masing,” katanya pada Sidang Akhbar Unduk Ngadau Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026, di sini pada Selasa.
Menurut Mary, pihak penganjur turut memperkenalkan sistem penilaian dua peringkat bagi memastikan proses pemilihan lebih menyeluruh dan berkualiti.
“Penilaian awal akan dijalankan sepanjang Minggu Unduk Ngadau bermula 26 Mei menerusi pelbagai aktiviti rasmi dan sesi penilaian dalaman sebelum diteruskan dengan penilaian akhir pada malam kemuncak pertandingan.
“Sepanjang tempoh tersebut, para finalis akan menjalani pelbagai sesi rasmi termasuk temu bual berkaitan pengetahuan budaya dan adat,” ujarnya.

Selain itu, pertandingan tahun ini turut menampilkan Pertandingan Filem Pendek CAN yang membawa tema “Kaamatan: Menuai Perpaduan, Meraikan Keharmonian” sebagai usaha memperkukuh elemen perpaduan dan apresiasi budaya dalam kalangan generasi muda.
Mary berkata, bagi memastikan ketelusan dan profesionalisme penghakiman, pihak penganjur turut menyediakan rubrik pemarkahan khusus sebagai panduan rasmi kepada barisan juri.
“Menerusi rubrik ini, penghakiman akan menjadi lebih adil, profesional dan telus dengan fokus diberikan sepenuhnya kepada kriteria penilaian yang telah ditetapkan.
“Unduk Ngadau bukan sekadar pertandingan ratu cantik semata-mata, sebaliknya menjadi platform memperkasakan wanita muda sebagai duta budaya, warisan dan komuniti Kadazandusun serta masyarakat Sabah secara keseluruhannya,” jelasnya.
Dalam pada itu, pemenang Unduk Ngadau Kaamatan 2026 bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000 selain tajaan biasiswa pendidikan, saringan kesihatan, produk kecantikan dan pelbagai hadiah menarik lain yang disumbangkan penaja serta rakan strategik.
Sementara itu, beliau berharap masyarakat akan terus memberikan sokongan kepada semua finalis dan bersama-sama memeriahkan sambutan Kaamatan tahun ini.



