Pas dan politik koalisi: Mengapa hubungan sering tidak kekal lama?

PARTI Islam Se-Malaysia (Pas) merupakan antara parti politik tertua di negara ini dan mempunyai sejarah panjang dalam membentuk kerjasama politik dengan pelbagai gabungan parti. Namun, hampir setiap kerjasama yang dibina akhirnya berdepan konflik dan perpecahan.

Penganalisis politik Terengganu, Dr Azrie Azeh berkata, sejarah politik negara menunjukkan Pas sering menjadi pemain utama dalam pembentukan gabungan politik, tetapi hubungan tersebut lazimnya tidak mampu bertahan dalam tempoh panjang.

“Jika dilihat secara kronologi, Pas pernah bekerjasama dengan pelbagai blok politik sama ada kerajaan mahupun pembangkang. Namun kebanyakan kerjasama itu akhirnya berakhir dengan krisis dalaman, pertembungan ideologi atau perebutan pengaruh politik,” katanya dalam satu temubual

Menurut beliau, Pas pernah menyertai Barisan Nasional (BN) bersama UMNO, MCA dan MIC selepas peristiwa 13 Mei 1969. Kerjasama itu bermula pada 1973 sebelum PAS disingkirkan daripada BN pada 1977 susulan krisis politik di Kelantan.

“Selepas itu Pas bekerjasama pula dengan Semangat 46 menerusi Angkatan Perpaduan Ummah (APU) sekitar tahun 1990 hingga 1996. Kemudian Pas menyertai Barisan Alternatif bersama PKR, DAP dan PRM pada 1999, namun gabungan itu hanya mampu bertahan kira-kira dua tahun,” jelasnya.

Tambah beliau, antara kerjasama politik paling kuat pernah dibentuk Pas ialah menerusi Pakatan Rakyat bersama PKR dan DAP bermula 2008 hingga 2015.

“Pakatan Rakyat dianggap antara gabungan pembangkang paling stabil ketika itu. Tetapi akhirnya ia runtuh akibat konflik berkaitan isu hudud di Kelantan serta ketegangan hubungan Pas dan DAP,” katanya.

Dr Azrie berkata, Pas kini menjadi sebahagian penting dalam Perikatan Nasional (PN) sejak 2020 bersama Bersatu, Gerakan dan beberapa parti lain, selain pernah bekerjasama dengan UMNO dalam kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

“Secara umum, kerjasama Pas paling lama setakat ini ialah dalam Pakatan Rakyat sekitar tujuh tahun dan Perikatan Nasional yang kini memasuki sekitar enam tahun. Namun hari ini pelbagai spekulasi serta cerita dalaman mula diperkatakan,” katanya.

Beliau berpandangan, antara faktor utama yang menyebabkan kerjasama politik Pas sering tidak kekal lama ialah perbezaan ideologi yang sukar disatukan.

“Pas membawa perjuangan Islam dan negara berteraskan syariah. Bila bekerjasama dengan parti pelbagai kaum atau lebih sekular seperti DAP, PKR mahupun UMNO, maka akan timbul perbezaan besar dalam soal pelaksanaan hudud, konsep negara Islam, hak bukan Islam dan pendekatan pentadbiran negara,” katanya.

Menurut beliau lagi, persaingan mendapatkan sokongan Melayu-Islam turut menjadi faktor hubungan Pas dengan parti lain sering tegang.

“Pas dan UMNO misalnya bersaing dalam kelompok pengundi yang sama. Walaupun pernah bekerjasama dalam Muafakat Nasional dan kerajaan Perikatan Nasional, persaingan asas tetap wujud mengenai siapa lebih Islamik, siapa lebih layak mewakili orang Melayu serta soal pembahagian kerusi pilihan raya,” ujarnya.

Dr Azrie turut menyatakan bahawa Pas mempunyai budaya politik yang sangat kuat mempertahankan identiti sendiri.

“Pas biasanya mahu mengekalkan identiti Islamnya dan tidak terlalu bertolak ansur dalam isu dasar agama. Di negeri kuat seperti Kelantan dan Terengganu, PAS bergerak dengan pendekatan tersendiri. Apabila sesebuah gabungan memerlukan kompromi besar, hubungan mudah menjadi retak,” katanya.

Beliau turut melihat perbezaan strategi politik sebagai antara penyebab utama kerjasama politik Pas sukar bertahan.

“Ada ketika Pas lebih cenderung kepada pendekatan dakwah dan konservatif dengan fokus kepada pengundi Melayu luar bandar. Sedangkan rakan gabungan lain lebih menekankan politik pelbagai kaum, reformasi institusi dan pendekatan progresif,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan ketidakstabilan gabungan politik bukan hanya berlaku kepada Pas semata-mata, sebaliknya merupakan realiti politik Malaysia yang sentiasa berubah.

“Banyak parti lain juga pernah keluar masuk gabungan dan bertukar blok politik. Bezanya Pas lebih ketara kerana ideologinya jelas serta lebih tegas,” katanya.

Walaupun begitu, beliau mengakui Pas kekal sebagai antara parti paling berpengaruh dan bertahan lama dalam landskap politik negara sejak penubuhannya pada 1951.

“Pas terus bertahan walaupun banyak gabungan berpecah. Parti itu masih mempunyai pengaruh besar khususnya di Pantai Timur dan utara Semenanjung,” katanya.

Mengulas persoalan sama ada Pas sukar bertoleransi atau merasakan hanya parti itu berada di landasan betul, Dr Azrie berpandangan perkara tersebut akan terus menjadi perdebatan dalam politik negara.

“Persoalan utama sekarang ialah sejauh mana Pas mampu mengurus konflik dalaman dalam gabungan politik tanpa mengorbankan identiti perjuangannya sendiri,” katanya.

Related Posts

Onn Hafiz dedah Istana Johor nasihat mohon maaf kepada Ahmad Zahid

MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mendedahkan bahawa nasihat daripada institusi diraja Johor menjadi faktor utama beliau mengambil keputusan untuk memohon maaf secara peribadi kepada Presiden UMNO, Datuk Seri…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Umat Islam diajak hayati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail

KOTA KINABALU – Umat Islam di negeri ini diseru agar menjadikan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anakandanya, Nabi Ismail AS sebagai iktibar yang sentiasa dihayati dalam menghadapi cabaran kehidupan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Onn Hafiz dedah Istana Johor nasihat mohon maaf kepada Ahmad Zahid

Onn Hafiz dedah Istana Johor nasihat mohon maaf kepada Ahmad Zahid

Umat Islam diajak hayati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail

Umat Islam diajak hayati sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail

Umat Islam diseru pelihara perpaduan, perkukuh ukhuwah

Umat Islam diseru pelihara perpaduan, perkukuh ukhuwah

Pas dan politik koalisi: Mengapa hubungan sering tidak kekal lama?

Pas dan politik koalisi: Mengapa hubungan sering tidak kekal lama?

Unduk Ngadau Kaamatan 2026 tampil pembaharuan, 53 finalis rebut gelaran di pentas akhir

Unduk Ngadau Kaamatan 2026 tampil pembaharuan, 53 finalis rebut gelaran di pentas akhir

Kerajaan terus santuni rakyat, 100 penduduk Kanowit ceria terima sumbangan Gawai

Kerajaan terus santuni rakyat, 100 penduduk Kanowit ceria terima sumbangan Gawai