
PUTRAJAYA – Inisiatif bekerja dari rumah (BDR) yang dilaksanakan kerajaan sejak 15 April lalu berjaya mengurangkan penggunaan petrol RON95 dengan penjimatan subsidi mencecah RM4.22 juta bersamaan 2.14 juta liter setakat 25 Mei.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pelaksanaan langkah itu membantu kerajaan mengurus tekanan kewangan susulan ketidaktentuan bekalan global dan peningkatan kos subsidi bahan api.
“Perlu diingatkan sekali lagi, BDR ini bukan bermaksud ‘Baring Duduk Rehat’. Ia bertujuan bagi mengawal penggunaan petrol, maka kerajaan luluskan BDR bermula 15 April lalu.
“Walaupun tekanan subsidi (meningkat) mendadak, kerajaan akan memastikan perkhidmatan kepada rakyat tidak terjejas,” katanya ketika menyampaikan amanat pada Majlis Apresiasi “Encouraging, Responsibility, Accountability, Trustworthiness” (ERAT) di sini, malam tadi.
Sebelum ini, kerajaan dilaporkan menjimatkan RM1.9 juta subsidi petrol RON95 bersamaan 979,632 liter dalam tempoh 10 hari pertama pelaksanaan BDR yang membabitkan kira-kira 200,000 penjawat awam.
Menurut Shamsul Azri, kejayaan pelaksanaan dasar itu bergantung kepada komitmen setiap ketua jabatan dalam memastikan mutu penyampaian perkhidmatan kekal efisien meskipun sebahagian penjawat awam bekerja secara fleksibel.
Beliau berkata, pendekatan pengurusan berteraskan konsep T.E.G.A.S perlu diamalkan oleh semua ketua jabatan, merangkumi tindakan pantas, empati, gagasan jelas, adaptif dan strategi efektif.
“Saya ingin ingatkan agar konsep TEGAS ini diamalkan oleh setiap ketua jabatan dalam kita berhadapan dengan krisis ketika ini,” katanya.
Pada masa sama, beliau menyeru penjawat awam supaya menghayati nilai M.A.L.A.Y.S.I.A dalam melaksanakan tugas harian, meliputi mesra, adil, luhur, amanah, yakin, setia, islah dan arif.
Katanya, budaya perkhidmatan awam perlu bebas daripada layanan berbeza berdasarkan pangkat atau kedudukan individu.
“Jangan bezakan layanan dengan melihat kepada jawatan. Kalau Datuk-Datuk datang, kita senyum berseri, tapi kalau tukang cuci datang berurusan, adakah kita layan sama dengan kita layan Datuk-Datuk?” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), Ismail Bakar, berkata amanah yang dipikul ketua jabatan menuntut tahap integriti dan ketegasan yang tinggi dalam pengurusan organisasi.
“Sebarang kesalahan yang dibiarkan tanpa tindakan bukan sahaja menjejaskan jabatan, malah turut mencalar kredibiliti agensi penguatkuasaan secara keseluruhan,” katanya.






