
KOTA KINABALU – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjelaskan kehadirannya di Sabah hanyalah bagi melaksanakan tugas penguatkuasaan dan menjaga kepentingan rakyat negeri ini selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, beliau tidak mempunyai kedudukan untuk mengulas lanjut mengenai keputusan kerajaan negeri menangguhkan pelaksanaan AKPS di Sabah kerana perkara itu melibatkan keputusan dasar antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“AKPS ketika ini hanya menjalankan penguatkuasaan di bawah Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860).
“Kehadiran kami di sini hanyalah untuk menguatkuasakan undang-undang di bawah Akta 860 demi menjaga kepentingan negara.
“Apabila maklumat diterima menunjukkan ada kepentingan rakyat Sabah yang perlu dijaga dan dipelihara, maka kami akan turun menjalankan penguatkuasaan,” katanya pada sidang media di Tapak Pemeriksaan Kontena, Pelabuhan Sepanggar, pada Selasa.
Tambahnya, kehadiran AKPS di Sabah bukan bertujuan mencetuskan sebarang polemik, sebaliknya bagi melaksanakan amanah serta tanggungjawab yang diberikan sehingga terdapat keputusan dasar muktamad daripada pihak atasan.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily turut memuji kerjasama erat antara AKPS dengan agensi penguat kuasa lain di Sabah termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.
Katanya, hubungan baik antara agensi terbabit membuktikan pengoperasian demi kepentingan rakyat Sabah mampu dilaksanakan secara bersama dan berkesan.
“Kejayaan ini adalah manifestasi kepada kerjasama yang boleh terus diperkukuhkan dalam konteks pengoperasian demi kepentingan Sabah.
“Tiada kepentingan peribadi ataupun mana-mana pihak, semuanya demi negara dan rakyat Sabah,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan status pelaksanaan AKPS di Sabah adalah perkara dasar yang diputuskan di peringkat atasan, namun dipihaknya hanya bertindak sebagai pelaksana penguatkuasaan di lapangan.





