
PUTRAJAYA – Belanjawan 2027 harus dijadikan peluang kepada kerajaan Persekutuan beralih arah daripada pendekatan yang hanya menetapkan gaji minimum, kepada strategi lebih menyeluruh merangkumi gaji minimum, gaji progresif, gaji kehidupan wajar dan peningkatan produktiviti.
Penganalisis ekonomi Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Puncak Alam, Profesor Dr Masturah Ma’in berkata, pembentangan bajet itu perlu menjadi titik perubahan kepada dasar pendapatan negara dengan memberi tumpuan kepada strategi gaji lebih menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada kenaikan kadar gaji minimum.
Menurut beliau, kerajaan tidak semestinya perlu menaikkan kadar gaji minimum secara terus kepada RM3,100 berikutan jumlah itu merupakan penanda aras gaji kehidupan wajar dan bukannya kadar gaji minimum berkanun.
“Kerajaan perlu mewujudkan formula semakan gaji minimum lebih menyeluruh dengan mengambil kira kos sara hidup, median gaji, produktiviti, inflasi dan pertumbuhan ekonomi. Semakan berkala berasaskan data juga dapat menjadikan dasar gaji lebih telus serta responsif terhadap perubahan ekonomi.
“RM3,100 boleh dijadikan sasaran gaji kehidupan wajar dalam jangka sederhana, bukannya diperkenalkan sebagai kadar gaji minimum baharu serta-merta. Laluan dasar yang boleh dipertimbangkan daripada gaji minimum kepada gaji progresif sebelum mencapai Gaji Kehidupan Wajar,
“Pendekatan tersebut membolehkan pendapatan pekerja meningkat secara berperingkat berdasarkan kemahiran, pengalaman dan produktiviti,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Rabu.

Masturah berkata, keperluan juga kerajaan menyediakan insentif kepada majikan yang meningkatkan gaji seiring dengan produktiviti, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta syarikat automasi, kecerdasan buatan (AI), latihan peningkatan dan penyesuaian kemahiran selain mewujudkan laluan kenaikan kerjaya serta melaksanakan sistem gaji progresif.
Beliau yang juga pensyarah di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Kampus Puncak Alam memaklumkan, pendekatan itu selari dengan usaha kerajaan memperkukuh pekerjaan bernilai tinggi, mempercepat pendigitalan, membangunkan industri semikonduktor dan meningkatkan produktiviti ekonomi negara.
“Kos sara hidup perlu dikurangkan melalui dasar bersasar. Kerajaan tidak boleh bergantung kepada kenaikan gaji semata-mata, sebaliknya tekanan perbelanjaan isi rumah perlu ditangani melalui penyediaan perumahan mampu milik, pengangkutan awam lebih cekap, sokongan penjagaan kanak-kanak, bantuan makanan bersasar, perkhidmatan kesihatan, pendidikan yang mampu milik serta bantuan tunai kepada golongan yang benar-benar memerlukan.
“Dengan pendekatan ini, kerajaan bukan sahaja dapat membantu pekerja memperoleh pendapatan lebih tinggi, malah meningkatkan kuasa beli mereka. Pada masa sama, majikan dapat mengekalkan daya saing melalui peningkatan produktiviti, penggunaan teknologi dan inovasi.
“Oleh itu, Belanjawan 2027 perlu memberi tumpuan bukan sekadar kepada persoalan berapa tinggi kadar gaji minimum tetapi bagaimana memastikan pendapatan pekerja benar-benar mencukupi untuk menampung kos sara hidup, seiring dengan peningkatan produktiviti dan daya saing ekonomi negara,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, kenaikan gaji minimum bukan sahaja melibatkan pertambahan gaji pekerja, malah turut menambah kos keseluruhan yang perlu ditanggung majikan untuk menggaji mereka.
Menurut beliau, sebarang kenaikan gaji minimum perlu dinilai dengan teliti berdasarkan pertumbuhan produktiviti, daya saing perniagaan, kos operasi serta kemampuan majikan mengekalkan pekerjaan, khususnya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
“MEF menyokong peningkatan gaji, tetapi kenaikan itu mesti mampan. Kita tidak boleh menaikkan gaji tanpa melihat produktiviti, daya saing dan kemampuan perniagaan menanggung kos tambahan. Matlamatnya adalah untuk membolehkan pekerja menerima gaji lebih baik tanpa melemahkan perniagaan yang menyediakan pekerjaan itu sendiri.
“Pada masa sama, kerajaan juga perlu lebih berhati-hati sekiranya pelarasan yang dicadangkan menyebabkan kenaikan yang lebih tinggi berbanding kadar gaji minimum semasa sebanyak RM1,700,” katanya.

Syed Hussain menegaskan, kenaikan kepada RM1,900 bersamaan peningkatan kira-kira 11.8 peratus, manakala kenaikan kepada RM2,000 pula melibatkan peningkatan sekitar 17.6 peratus.
“Kenaikan itu perlu dinilai dengan teliti berdasarkan pertumbuhan produktiviti dan keadaan perniagaan semasa. Kenaikan kadar gaji minimum melebihi 10 hingga 12 peratus memerlukan pertimbangan yang sangat serius.
“Bagi PMKS yang beroperasi dengan margin keuntungan semakin mengecil serta menghadapi kos operasi yang meningkat, satu lagi kenaikan gaji yang ketara boleh memberi tekanan besar terhadap kemampuan mereka mengekalkan pekerja,” katanya.
Sementara itu, Syed Hussain berkata, banyak PMKS beroperasi dengan margin keuntungan di bawah 10 peratus dan pihak perniagaan dapat melihat serta merasai margin itu semakin mengecil.
Beliau menjelaskan, pada masa sama, syarikat kecil menghadapi tekanan aliran tunai apabila bayaran daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) kerap tertangguh.
“Ini merupakan cabaran sebenar yang dihadapi di lapangan dan mesti diambil kira sebelum menentukan kadar gaji yang mungkin dilaksanakan secara seragam terhadap semua perniagaan.
“Sebelum memutuskan satu kadar yang sesuai untuk semua, kerajaan perlu mendengar dengan teliti maklum balas pihak perniagaan, khususnya PMKS dan sektor yang beroperasi dengan margin keuntungan kecil.
“Kemampuan menanggung kos buruh lebih tinggi berbeza dengan ketara antara perniagaan, sektor dan wilayah. Perbezaan ini perlu diiktiraf dalam semakan gaji minimum,” katanya.


