
PULAI – Tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan menarik semula sokongan terhadap usaha undi tidak percaya kepada Menteri Besar Negeri Sembilan dipercayai mencetuskan ketegangan baharu dalam Perikatan Nasional (PN), khususnya antara Pas dan Bersatu.
Ahli Parlimen Pulai, Suhaizan Kaiat berkata, perkembangan itu memberi gambaran jelas wujud perbezaan pendekatan politik antara kedua-dua parti apabila langkah yang dipercayai bertujuan menukar kerajaan negeri tanpa pilihan raya akhirnya tidak menjadi kenyataan.
Menurut beliau, penarikan semula Akuan Bersumpah (SD) oleh ADUN terlibat bukan sahaja menggagalkan percaturan politik tersebut, malah dilihat menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan Pas yang didakwa mahu meneruskan strategi pertukaran kuasa melalui perubahan sokongan politik.
“Pendekatan itu mengingatkan kepada episod politik terdahulu yang menyaksikan pembentukan kerajaan berlaku menerusi perubahan sokongan wakil rakyat, bukannya melalui mandat baharu rakyat.
“Negeri Sembilan dipercayai menjadi medan baharu untuk percaturan politik seperti ini, namun kegagalan mendapatkan komitmen penuh daripada semua pihak memperlihatkan kelemahan perancangan dan ketidaksepakatan dalam kalangan mereka sendiri,” katanya.
Suhaizan turut berpandangan bahawa episod tersebut mendedahkan kerapuhan hubungan antara Pas dan Bersatu dalam gabungan PN apabila tindakan menarik balik SD berkenaan menambah lagi persepsi bahawa wujud retakan dalaman yang semakin sukar dipulihkan.
Beliau berkata, kegagalan menyelaras tindakan sebelum SD ditandatangani oleh wakil rakyat daripada kedua-dua parti juga menunjukkan kelemahan koordinasi kepimpinan dalam gabungan itu.
“Gabungan politik yang mahu menawarkan diri mentadbir negara sepatutnya mempunyai kesepakatan dan strategi yang jelas, bukannya bergerak tanpa rundingan kukuh sehingga mencetuskan konflik dalaman.
“Rakyat ketika ini lebih mengutamakan kestabilan politik, pembangunan ekonomi serta penyelesaian isu kos sara hidup dan kebajikan harian berbanding permainan angka atau percaturan kuasa yang boleh menjejaskan keyakinan terhadap landskap politik negara.
Katanya, keseluruhan episod itu memperlihatkan pembangkang masih dibayangi budaya politik ‘tebuk atap’, sedangkan rakyat mengharapkan persaingan sihat menerusi dasar, idea serta mandat sah melalui proses demokrasi.







