PUTRAJAYA – Manifesto 12 agenda yang dibawa Datuk Seri Rafizi Ramli untuk Parti Bersama Malaysia (Bersama) disifatkan hanya sekadar gambaran idealistik yang menarik di atas kertas, namun sukar diterjemahkan dalam realiti pentadbiran serta sistem politik negara.
Penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Mashitah Mohd Udin berkata, manifesto yang dibawa bekas Menteri Ekonomi itu lebih menyerupai senarai slogan dasar yang populis berbanding pelan pentadbiran yang lengkap.
Menurut beliau, walaupun ia sarat dengan pelbagai matlamat besar, tetapi lemah dari sudut mekanisme pelaksanaan, anggaran kos sumber pembiayaan, implikasi fiskal, keperluan perundangan, kapasiti institusi dan strategi politik untuk merealisasikannya.
“Dalam bidang dasar awam, sesiapa sahaja boleh menyebut mahu bantuan bulanan universal, pertumbuhan ekonomi lebih lima peratus atau gaji meningkat setiap tahun, tetapi persoalan sebenar ialah bagaimana semua itu mahu dibiayai dalam keadaan fiskal negara yang terbatas.
“Sebab itu saya setuju jika dikatakan manifesto ini seolah-olah menyerupai ‘angan-angan Mat Jenin’ yang sedap didengar tetapi terlalu idealistik dan tidak berpijak pada realiti pentadbiran negara.
“Timbul persoalan asas, mengapa agenda ini tidak disuarakan dan cuba dilaksanakan secara lebih bersungguh-sungguh ketika tokoh-tokoh utama di sebalik Bersama berada dalam kerajaan dan memegang jawatan menteri yang ketika itu mempunyai akses langsung kepada proses membuat dasar negara,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Khamis.
Mengulas lanjut, Mashitah berkata, sepanjang memegang portfolio ekonomi, Rafizi lebih dikenali dengan isu sistem PADU dan kontroversi vending machine
berbanding reformasi ekonomi besar seperti yang kini dijanjikan melalui manfesto parti baharu bekas Timbalan Presiden PKR tersebut.
Sehubungan itu, beliau yang juga Pengarah Institut Kajian Politik Malaysia (MAPAN) berkata, situasi itu menimbulkan persepsi bahawa agenda baharu dibawa Rafizi lebih bersifat reaktif selepas keluar daripada arus kuasa dan bukannya perjuangan dasar yang konsisten sejak awal.

“Bersama mengumumkan mahu bergerak solo, satu persoalan paling besar kekal tidak terjawab, bagaimana semua idealisme ini mahu dilaksanakan dalam sistem politik Malaysia yang menuntut kerjasama, kompromi dan kerajaan gabungan. Ia menimbulkan percanggahan strategi. Jika bergerak solo, bagaimana mahu mencapai kuasa?
“Dalam sistem politik Malaysia, hampir mustahil sebuah parti baharu yang bergerak secara solo akan terus mampu membentuk kerajaan Persekutuan. Untuk mentadbir negara, mereka perlu menang cukup kerusi atau bekerjasama dengan parti lain. Namun pengumuman bahawa mereka akan bergerak solo .
“Dalam politik, konsistensi sangat penting. Rakyat akan bertanya sama ada agenda ini benar-benar lahir daripada keyakinan ideologi ataupun sekadar usaha membina identiti politik baharu selepas konflik dalaman parti,” katanya.
Lebih menghairankan, Mashitah berkata, Bersama ingin menawarkan Malaysia untuk semua namun timbul persoalan apabila tiada pendirian jelas mengenai isu pendidikan vernakular, pengiktirafan UEC, kedudukan Bahasa Melayu, hak Bumiputera, kuota pendidikan, hubungan Persekutuan-negeri, syariah, kebebasan beragama dan perpaduan nasional.
“Mengelak isu sedemikian mungkin strategi untuk kelihatan selamat buat parti itu, tetapi ia juga menunjukkan agenda tersebut belum cukup berani untuk berdepan dengan realiti politik Malaysia,” katanya.
Tambahnya, untuk menjadi sebuah parti nasional tidak hanya boleh bercakap tentang ekonomi, pendidikan dan perumahan secara teknokratik tetapi mengelak isu identiti nasional yang menjadi sumber pertikaian utama dalam politik Malaysia.
“Manifesto 12 agenda mungkin berjaya menarik perhatian sesetengah golongan khasnya anak-anak muda kerana bahasanya mudah, sasarannya besar dan nadanya idealistik.
Namun ia terlalu populis, terlalu umum
“Pada masa sama, ia juga terlalu kurang perincian untuk dianggap sebagai pelan pentadbiran yang serius. Ia tidak menjawab persoalan kos, mekanisme, keutamaan, pelaksanaan, kapasiti institusi dan realiti politik gabungan,” katanya.
Manifesto 12 agenda dibawa Rafizi melalui Bersama memberikan tumpuan utama kepada reformasi ekonomi, peningkatan pendapatan rakyat dan pembinaan semula institusi negara.
Antara janji utama ialah bantuan bulanan universal kepada isi rumah, pertumbuhan ekonomi melebihi lima peratus setahun, kenaikan gaji tahunan, pendidikan awal kanak-kanak universal serta had pekerja asing maksimum lima peratus daripada jumlah tenaga kerja negara.
Selain itu, Rafizi turut membawa agenda meningkatkan nisbah doktor kepada 1:300 penduduk, memberi autonomi penuh kepada universiti awam, memperkukuh ekonomi digital, memperluas jaringan keselamatan sosial dan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi.
Beliau mendakwa agenda tersebut mampu menjadikan Malaysia lebih kompetitif dan mengurangkan jurang ekonomi rakyat dalam tempoh sedekad akan datang.



