MANCHESTER United meraih kemenangan 3-2 ke atas Nottingham Forest dalam aksi terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) di laman sendiri musim ini ketika kelab itu semakin hampir mengesahkan Michael Carrick sebagai pengurus tetap.
Luke Shaw, Matheus Cunha dan Bryan Mbeumo masing-masing menjaringkan gol buat United manakala kapten, Bruno Fernandes menyamai rekod bantuan gol terbanyak semusim liga iaitu 20.
Kemenangan itu memastikan United kekal di tangga ketiga dengan 68 mata berbaki satu perlawanan, sementara Forest berada di kedudukan ke-16 dengan 43 mata.
Shaw membuka jaringan seawal minit kelima selepas rembatan derasnya menerjah penjuru bawah gol hasil kesilapan pertahanan lawan, sekali gus menghadiahkan gol pertamanya di saingan liga selepas lebih tiga tahun.
Morato menyamakan kedudukan buat Forest pada minit ke-53 menerusi tandukan jarak dekat.
Namun Cunha kembali meletakkan United di depan dua minit kemudian menerusi jaringan yang disahkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) susulan dakwaan bola terkena tangan Mbeumo.
Mbeumo kemudian menambah gol ketiga United pada minit ke-76 hasil penyudah tenang selepas menerima hantaran Fernandes.
Morgan Gibbs-White merapatkan jurang buat Forest tidak lama selepas itu, sekali gus menyaksikan penghujung aksi berlangsung penuh mendebarkan.





