JOHOR BAHRU – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mencadangkan agar Pakatan Harapan di Negeri Sembilan turut mengambil pendekatan agresif dengan bertanding di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya akan datang.
Beliau berkata, cadangan itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan Pengerusi Barisan Nasional Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang sebelum ini mengumumkan bahawa gabungan berkenaan akan bertanding secara solo di semua 56 kerusi DUN Johor.
“Secara kesimpulannya, kita sudah masuk dalam gelanggang sekarang. Pihak lain telah umumkan nak lawan 56 kerusi di Johor.
“Saya nak cadangkan kepada Yang Berhormat Pengerusi, kalau Johor nak lawan 56, Negeri Sembilan pun kita lawan 36.

“Kalau Johor bubar (DUN) esok, Negeri Sembilan pun kita bubar esok,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor hari ini.
Kenyataan beliau itu dilihat sebagai isyarat bahawa PH bersedia memperkukuh strategi politik di negeri-negeri utama, selain meningkatkan persaingan menjelang sebarang kemungkinan pembubaran DUN di peringkat negeri.
Cadangan tersebut turut mencerminkan nada politik yang semakin terbuka dan kompetitif antara blok kerajaan dan pembangkang, khususnya di negeri-negeri yang menjadi medan tumpuan utama pilihan raya akan datang.






