TANGKAK – Warga Sekolah Kebangsaan (SK) Puteri Ledang kini mampu menikmati kemudahan bekalan air bersih daripada Syarikat Air Johor (SAJ) selepas lebih tujuh dekad bergantung kepada sumber air dari Gunung Ledang.
Majlis Perasmian Bekalan Air Bersih SAJ di sekolah berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar merangkap Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh hari ini dengan gimik istimewa bertemakan ‘Puteri Gunung Ledang’.
Menurut beliau, usaha menyediakan bekalan air bersih itu dimulakan sejak tahun 2017 menerusi kerjasama antara Pejabat Parlimen Ledang dan Ranhill SAJ di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan peruntukan sebanyak RM1.1 juta.
“Saya bersyukur kerana warga sekolah akhirnya dapat menikmati bekalan air bersih yang lebih selesa, selamat dan sempurna,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Beliau berkata, kemudahan tersebut bukan sahaja memberi keselesaan kepada guru dan murid, malah mampu meningkatkan tahap kesihatan serta kesejahteraan warga sekolah secara keseluruhan.
Sebelum ini, sekolah berkenaan bergantung kepada sumber air dari kawasan Gunung Ledang yang digunakan sejak puluhan tahun lalu bagi memenuhi keperluan harian di sekolah tersebut.
Majlis berkenaan turut dihadiri Guru Besar SK Puteri Ledang, Norlizah Mohd Noor; Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sektor Pengurusan Sekolah, Muhammad Khairul Nisak Ahmad; Pegawai Kesihatan dan Persekitaran Majlis Daerah Tangkak, Ts. Muhamad Sidek Arasu Abdullah serta Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ, Muhd Subree Abd Rahman.
Pelaksanaan projek itu dilihat sebagai satu lagi inisiatif penting dalam memperkasakan kemudahan asas luar bandar demi kesejahteraan masyarakat setempat khususnya dalam sektor pendidikan.






