Oleh: S.Abdullah dan Don Mikael
SEREMBAN – Malaysia tidak akan memaafkan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low walaupun Amerika Syarikat (AS) membuat pendirian berbeza mengenainya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara ini tidak akan membantah pendirian yang bakal dibuat oleh AS dan tidak terikat dengan keputusan tersebut.
“Kami tidak akan mempertimbangkannya (jika Jho Low memohon pengampunan dari Malaysia).
“Tidak ada masalah kerana ini adalah keputusan AS. Kami tidak akan menyokong mereka,” katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Bandar Sri Sendayan, pada Jumaat.
Hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan membuat sebarang representasi rasmi kepada pihak berkuasa AS bagi membantah sebarang kemungkinan pengampunan diberikan kepada Jho Low
Akhbar kewangan antarabangsa, Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa lalu melaporkan Jho Low, dilaporkan sedang mengemukakan permohonan pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump.
Permohonan itu difailkan dalam tempoh beberapa minggu lalu, mengikut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.
Jika permohonan itu diluluskan, ia akan menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang dihadapi Jho Low di AS.
Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Jho Low tidak sepatutnya diberi sebarang pengampunan atau kelonggaran susulan skandal besar yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, kerosakan serta musibah yang dibawa Jho Low kepada negara terlalu besar sehingga tidak wajar diberikan sebarang pertimbangan untuk dimaafkan.





