
KUCHING – Sarawak terus mempergiat usaha mempercepatkan pengukuran dan pewartaan tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) apabila sebanyak 11 kawasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak telah diluluskan untuk pengukuran perimeter setakat 30 April lepas.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, kelulusan itu melibatkan kawasan berkeluasan kira-kira 3,372 hektar atau 8,333 ekar.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, lapan kawasan berkeluasan 2,984 hektar (7,373 ekar) telah selesai diukur dan diwartakan sebagai Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) di bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Sarawak.
“Pencapaian ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memperkukuh pengiktirafan hak tanah NCR serta mempercepatkan proses pemilikan tanah secara sah kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Len Talif yang juga ADUN Kuala Rajang menjelaskan, baki tiga kawasan lagi yang melibatkan keluasan 175 hektar (432 ekar) di Kilometer 15 Jalan Ulu Sebauh meliputi kawasan B, C dan D masih belum dimulakan proses pengukuran.
Jelas beliau, situasi itu berlaku susulan ketiadaan Tuai Rumah dan penuntut tanah semasa sesi dialog meja bulat yang diadakan pada tahun 2012.
“Malah, tiada maklum balas diterima daripada penuntut tanah di kawasan tersebut walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Bintulu termasuk menghubungi mereka melalui surat, panggilan telefon dan pesanan radio tempatan,” ujarnya.
Sementara itu, dalam usaha mempercepatkan lagi proses pengukuran tanah NCR, beliau memaklumkan kerajaan Sarawak turut meluluskan pengambilan seramai 467 pegawai pelbagai kategori bagi menambah kapasiti Jabatan Tanah dan Survei dengan implikasi kewangan sebanyak RM30 juta setahun.
Tambahnya, khidmat juruukur swasta turut dilantik bagi memperkukuh kapasiti pasukan pengukuran jabatan berkenaan.
Pada masa sama, pelaksanaan kajian dan penyelidikan berterusan turut digerakkan untuk mengenal pasti kaedah serta teknologi pengukuran yang lebih efisien bersesuaian dengan keadaan semasa.
“Pendekatan ini bertujuan mempercepatkan kerja pengukuran di lapangan tanpa menjejaskan ketepatan dan kualiti data yang diperoleh,” katanya.
Menjawab soalan tambahan mengenai status tanah melibatkan penuntut asal yang telah meninggal dunia sebelum geran dikeluarkan, beliau menegaskan surat hak milik tanah masih boleh dikeluarkan atas nama penuntut berkenaan.
Jelasnya, waris masih boleh menguruskan tuntutan tanah tersebut melalui proses probet mengikut peruntukan undang-undang yang sedia ada.
Foto: Facebook YB Datuk Len Taliff



