Bot bawa 37 PATI Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor, operasi SAR dilancar

LUMUT – Sebuah bot dipercayai membawa seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia karam di perairan Pulau Pangkor, dekat sini, awal pagi Isnin, mengakibatkan empat mangsa disahkan maut manakala selebihnya masih hilang.

Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob berkata, pihaknya menerima maklumat sekitar jam 5.30 pagi daripada seorang nelayan tempatan yang menemui mangsa terapung sebelum bantuan kecemasan segera digerakkan.

Menurut beliau, susulan laporan itu, Ibu Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak segera mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat) bagi mengesan mangsa bot karam berkenaan.

“Operasi SAR diaktifkan pada jam 6 pagi dengan menggerakkan aset KM Gagah dan Benteng 1203 ke lokasi kejadian.

“Siasatan awal mendapati sebuah bot nelayan tempatan berjaya menyelamatkan 23 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dan tujuh wanita yang kesemuanya warga Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, semua mangsa yang terselamat dibawa Pasukan Polis Marin ke Jeti Polis Marin Kampung Acheh bagi tujuan dokumentasi dan siasatan lanjut.

Menurut Mohamad Shukri, maklumat awal mendapati bot terbabit membawa seramai 37 individu ketika kejadian berlaku.

Katanya, pasukan penyelamat turut menemui tiga beg berisi pakaian yang dipercayai milik mangsa di kawasan pencarian.

“Siasatan juga mendapati kumpulan terbabit dipercayai bertolak dari Kisaran, Indonesia sebelum menuju ke beberapa destinasi di Malaysia termasuk Pulau Pinang, Terengganu, Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.

Operasi mencari dan menyelamat itu turut membabitkan pelbagai agensi termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Polis Marin, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta bantuan nelayan tempatan.

Antara aset yang digerakkan termasuk kapal TLDM, helikopter Fennec TLDM dan dua bot tempur pantas TLDM bagi memperluaskan pencarian di sekitar lokasi kejadian.

Sehingga kini, empat mangsa ditemukan maut manakala operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan baki mangsa yang hilang.

Foto: Maritim Perak

Related Posts

Kolaborasi Tourism Malaysia dan Cats FM rancakkan pelancongan Sarawak

KUCHING – Tourism Malaysia dengan kerjasama stesen radio Cats FM sukses menganjurkan program Miss SHOPhia Shopping Hunt 2026 bagi mempromosikan pelancongan domestik dan merancakkan sektor peruncitan di Sarawak.   Program interaktif…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan, RM1.5 bilion dana permulaan

SIBU – Sebuah badan khas dikenali sebagai Sibu Economic Zone bakal ditubuhkan dengan dana permulaan sebanyak RM1.5 bilion bagi memperkukuh pertumbuhan ekonomi Sibu dan zon tengah Sarawak. Premier Sarawak, Datuk…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

Anwar ucap tahniah kepada BN, jamin pembangunan Johor kekal jadi keutamaan

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

BN peroleh majoriti mudah, bentuk Kerajaan Negeri Johor – SPR

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

PRN Johor: BN raih kemenangan, kuasai 48 kerusi DUN

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

Maszlee berjaya tawan DUN Puteri Wangsa

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

PRN Johor: PH terima keputusan rakyat hanya menang lapan kerusi

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor

BN lepas majoriti mudah bentuk Kerajaan Negeri Johor