
PUTRAJAYA – Wujud keperluan mendesak bagi perlindungan sosial yang lebih menyeluruh apabila jumlah kemalangan serta penerima faedah di bawah skim perlindungan kendiri terus meningkat saban tahun.
Sehubungan itu, Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Masrizal Mahidin berpandangan, pendekatan ‘soft landing’ dalam penguatkuasaan tidak lagi memadai sekiranya ketidakpatuhan berterusan, dan tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas serta bersifat punitif perlu dipertimbangkan.
“Di bawah Seksyen 82 Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), pekerja gig mempunyai hak kepada pemotongan caruman keselamatan sosial oleh entiti kontrak bagi pihak mereka kepada Perkeso, manakala Seksyen 83 memperuntukkan kewajipan mandatori ke atas penyedia platform untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut tanpa pengecualian.
“GEM juga menyokong sepenuhnya pendirian bahawa semua penyedia platform — termasuk yang belum berdaftar — tetap tertakluk kepada kewajipan untuk mendaftar dan melaksanakan caruman demi memastikan perlindungan menyeluruh kepada pekerja gig.
“Malaysia kini berada pada landasan penting sebagai antara negara perintis di rantau ini dalam memperkenalkan kerangka perundangan komprehensif bagi sektor gig. Namun, kekuatan dasar ini hanya akan bermakna sekiranya pelaksanaannya dilakukan dengan tegas, konsisten dan tanpa kompromi,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Masrizal yang juga dikenali sebagai Jose Rizal berpendapat, seselamatan sosial pekerja gig bukan pilihan, namun adalah hak yang dijamin undang-undang dan amanah wajib ditunaikan.

Katanya, kelewatan sebahagian penyedia platform melaksanakan integrasi sistem caruman keselamatan sosial bukan lagi isu teknikal, sebaliknya kegagalan mematuhi undang-undang di bawah Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872).
“Hampir sebulan selepas penguatkuasaan Akta Pekerja Gig 2025 (Akta 872), pelaksanaan di lapangan masih belum menunjukkan tahap pematuhan yang menyeluruh dalam kalangan penyedia platform.
“Walhal, Perkeso telah mengesahkan bahawa mereka bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan perlindungan sosial pekerja gig, termasuk melalui integrasi sistem berasaskan “Application Programming Interface (API)” yang membolehkan potongan caruman dilaksanakan secara automatik, telus dan efisien tanpa campur tangan manual.
“Integrasi ini membolehkan potongan caruman dilaksanakan secara automatik, telus dan efisien tanpa campur tangan manual platform. Justeru, sebarang alasan berkaitan kekangan teknikal tidak lagi relevan untuk dijadikan justifikasi melengah-lengahkan pelaksanaan,” katanya.
Masrizal menjelaskan, di bawah mekanisme baharu itu, caruman ditetapkan pada kadar 1.25 peratus secara automatik bagi setiap transaksi sebaik sahaja tugasan diselesaikan, sekali gus memastikan perlindungan sosial yang konsisten tanpa menjejaskan fleksibiliti pekerjaan gig.
Namun, beliau menzahirkan kebimbangan terhadap kegagalan segelintir penyedia platform untuk segera menyelaraskan sistem masing-masing dengan keperluan ditetapkan.
“Keadaan ini menimbulkan persoalan serius terhadap komitmen mereka dalam mematuhi undang-undang serta menjaga kebajikan pekerja gig. Isu ini bukan lagi bersifat teknikal, tetapi melibatkan kepatuhan, integriti dan tanggungjawab industri,” katanya.






