
Oleh: Yusoff Din
PEMECATAN Abdul Khalib Abdullah sebagai Ketua Bersatu Pahang dilihat membuka lagi episod pergolakan dalaman parti itu di negeri berkenaan, khususnya selepas kemelut melibatkan kem kepimpinan tertinggi parti sebelum ini.
Ahli Parlimen Rompin itu sendiri mengesahkan khidmatnya telah ditamatkan selepas menerima surat daripada pejabat Presiden Muhyiddin Yassin pada 7 April lalu.
“Ya… betul… saya mendapat surat daripada Tan Sri Presiden, penamatan sebagai Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Pahang.
“Sebenarnya, mengikut surat yang saya terima, penamatan jawatan saya berkuat kuasa pada 10 Mac 2026,” katanya memetik laporan Malaysiakini.
Perkembangan ini mencetuskan tanda tanya apabila Abdul Khalib Abdullah sebelum ini dikaitkan sebagai antara 18 ahli Parlimen Bersatu yang didakwa menyatakan sokongan kepada bekas Timbalan Presiden parti, Hamzah Zainudin.
Untuk rekod, Hamzah Zainudin telah dipecat daripada parti pada 16 Februari lalu selepas didakwa melanggar perlembagaan parti, sekali gus memperlihatkan wujudnya pergeseran dalaman dalam Bersatu.
Selain Abdul Khalib Abdullah, beberapa nama lain turut dikaitkan menyokong Hamzah termasuk Ronald Kiandee, Wan Saiful Wan Jan dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang dilihat menggambarkan perpecahan lebih luas dalam parti.
Menariknya, Abdul Khalib Abdullah tidak menolak kemungkinan sokongannya kepada Hamzah Zainudin menjadi punca penamatan tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata menerima keputusan itu dengan hati terbuka.
“Pelantikan sebagai Ketua Badan Pimpinan Negeri ini hak prerogatif presiden, jadi presiden berhak untuk melantik sesiapa sahaja yang difikirkan sesuai,” katanya.
Bagaimanapun, situasi menjadi lebih mengelirukan apabila beliau sendiri memaklumkan tidak mengetahui sama ada jawatan tersebut telah diisi atau tidak.
“Buat masa sekarang rasanya belum ada lantikan lagi… soal pemangku sementara ini, saya tak tahu,” ujarnya.
Ketiadaan pengganti setakat ini dilihat menambah persepsi ketidaktentuan kepimpinan dalam Bersatu Pahang, lebih-lebih lagi selepas perubahan kepimpinan berlaku secara mengejut.
Walaupun menegaskan dirinya masih ahli parti, Abdul Khalib Abdullah secara terbuka mengakui wujud masalah dalam Bersatu.
“Saya masih ahli Bersatu, tidak dipecat, cuma ditamatkan sebagai Ketua Bersatu Pahang.
“Ia tidak menjejaskan PN Pahang secara umumnya… PN Pahang tidak ada masalah, yang ada masalah Bersatu,” jelasnya.
Untuk rekod, beliau dilantik sebagai Ketua Bersatu Pahang pada Februari 2025 bagi menggantikan Saifuddin Abdullah, sebelum kemudiannya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi PN Pahang pada 11 Januari lalu.
Ketika ini, Bersatu hanya mempunyai dua wakil rakyat di Pahang iaitu Jasri Jamaludin dan Mohd Yazid Mohd Yunus menjadikan kemelut kepimpinan ini berpotensi memberi kesan besar terhadap kekuatan parti di negeri tersebut.





