
LAHAD DATU – Dua wanita maut manakala enam lagi cedera dalam kemalangan jalan raya membabitkan lima kenderaan termasuk sebuah jentera berat penggali (Hitachi) di Kilometer 14 Jalan Lahad Datu-Tawau, pada Sabtu.
Dalam kejadian pukul 4.30 petang itu, pemandu kenderaan Proton Saga, wanita berumur 21 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian manakala penumpang hadapannya wanita, berusia 35 tahun dilaporkan maut semasa dikejarkan ke Hospital Lahad Datu.
Manakala, empat penumpang belakang kenderaan itu berumur antara dua hingga 15 tahun dan penunggang motosikal berumur 20 tahun, mengalami kecederaan dihantar ke hospital untuk rawatan susulan.
Sementara itu, masing-masing pemandu lori 45 tahun dan pemandu kenderaan Produa Alza berumur 32 tahun tidak mengalami kecederaan serius.
Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintenden Jimmy Panyau berkata, siasatan awal kejadian mendapati motokar Proton Saga berkenaan dari arah Tawau ke Bandar Lahad Datu.
“Sampai di tempat kejadian, motokar tersebut dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke lorong bertentangan dan melanggar sebuah lori jenis Rigid Dumper.

“Akibat pelanggaran itu, lori terbabit terbabas ke lorong bertentangan lalu melanggar Proton Alza serta sebuah motosikal.
“Lori dan Alza kemudian jatuh ke dalam gaung di kawasan pembinaan jalan Pan Borneo di bahu kiri jalan dari arah Tawau ke Lahad Datu, sebelum itu, Alza berkenaan turut melanggar sebuah jentera Hitachi yang tidak bergerak,” katanya dalam kenyataan media, pada Ahad.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Jimmy menyeru orang ramai yang menyaksikan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Lahad Datu.
Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan memandu secara berhemah bagi mengelakkan sebarang kemalangan serta membahayakan diri sendiri serta orang lain.





