
KOTA KINABALU – Sabah melakar satu lagi langkah strategik dalam memperkukuh sistem kesihatannya apabila bakal memiliki hospital jantung bertaraf nasional sendiri, sekali gus mengurangkan kebergantungan pesakit terhadap rawatan di Semenanjung Malaysia.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, projek hospital jantung pertama di negeri itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi.
“Ia adalah manifestasi kesungguhan kerajaan dalam memastikan rakyat Sabah mendapat rawatan kardiovaskular terbaik tanpa perlu keluar negeri.
“Hospital yang bakal dibina di atas tapak seluas 10 ekar di Likas ini dijangka akan menjadi pemangkin utama dalam menangani isu ‘medical migration’ fenomena pesakit Sabah mendapatkan rawatan di luar negeri akibat kekangan kemudahan tempatan,” katanya kepada media dalam Majlis Memorandum Persefahaman (MoU) antara Yayasan Sabah melalui cabang pelaburannya Innoprise Corporation Sdn Bhd dan Institut Jantung Negara (IJN), di sini, pada Isnin.
Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif ICSB, Jasnih Daya menegaskan, kehadiran hospital ini bukan sahaja akan mengurangkan kos perjalanan pesakit, malah mempercepatkan akses kepada rawatan pakar.
“Kemudahan baharu ini akan melengkapi perkhidmatan sedia ada di Hospital Queen Elizabeth II, yang kini berdepan kekangan kapasiti berbanding permintaan tinggi.
“Penubuhan Hospital IJN Sabah bukan sekadar projek kesihatan, tetapi strategi bersepadu yang menggabungkan keperluan perubatan, pembangunan ekonomi dan peningkatan kapasiti sumber manusia.
“Dengan permintaan terhadap rawatan kardiovaskular yang terus meningkat, projek ini berpotensi menjadi titik perubahan dalam landskap kesihatan Sabah daripada negeri bergantung kepada luar, kepada hab rawatan serantau,” kongsinya.

Sementara itu, Pengerusi IJN, Noor Hisham Abdullah memberi amaran bahawa penyakit kardiovaskular kekal sebagai penyebab utama kematian di Malaysia, sekali gus menuntut sistem kesihatan yang lebih responsif.
“Perluasan akses kepada rawatan berkualiti tinggi adalah kritikal agar rakyat, tanpa mengira lokasi, dapat menikmati perkhidmatan setara.
“Pembukaan hospital IJN di Sabah dilihat sebagai peluang memperkukuh sektor pelancongan kesihatan dengan menawarkan rawatan bertaraf global pada kos kompetitif.
“Selain manfaat kesihatan, projek ini dijangka merangsang ekonomi negeri melalui penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan tenaga kerja mahir dalam bidang perubatan,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, satu lagi MoU dimeterai antara University College Sabah Foundation (UCSF) dan IJN University College bagi memperkukuh latihan profesional dalam sektor kesihatan.
Langkah ini dilihat sebagai usaha jangka panjang untuk memastikan Sabah bukan sahaja memiliki infrastruktur kesihatan moden, tetapi juga tenaga pakar tempatan yang mencukupi.





