
KENAIKAN harga bahan api ketika ini bukan berpunca semata-mata daripada harga minyak mentah dunia, sebaliknya didorong oleh lonjakan harga produk petroleum siap (refined products) di pasaran global yang memberi tekanan langsung kepada harga runcit domestik.
Hakikat ini penting difahami kerana ramai masih beranggapan harga petrol dan diesel hanya bergantung kepada harga minyak mentah Brent. Namun realitinya, harga di pam lebih banyak dipengaruhi oleh harga produk siap seperti petrol dan diesel yang telah ditapis.
Ketika ini, harga minyak mentah Brent dilaporkan meningkat lebih 40 peratus, namun tekanan sebenar datang daripada harga ‘refined products’ yang melonjak lebih tinggi, dengan petrol mencecah sekitar AS$150 setong manakala diesel melonjak sehingga sekitar AS$250 setong. Lonjakan ini jauh lebih tinggi daripada kenaikan harga minyak mentah itu sendiri.
Keadaan ini berlaku disebabkan beberapa faktor global termasuk kekurangan kapasiti penapisan dunia, peningkatan permintaan diesel bagi sektor logistik dan industri, serta gangguan rantaian bekalan akibat ketidaktentuan geopolitik antarabangsa. Semua faktor ini menyebabkan harga produk petroleum siap meningkat secara mendadak walaupun harga minyak mentah tidak melonjak setinggi itu.
Dalam keadaan tekanan global yang tinggi ini, kerajaan mengambil pendekatan bertanggungjawab dengan tidak memindahkan sepenuhnya kenaikan harga kepada rakyat. Sebaliknya, kerajaan terus menanggung subsidi besar bagi memastikan kos bahan api kekal terkawal.
Tanpa subsidi kerajaan, harga diesel di Semenanjung Malaysia dianggarkan boleh mencecah sehingga RM6.02 seliter. Namun melalui campur tangan kerajaan, harga diesel bersubsidi kekal pada paras RM2.15 seliter, manakala program BUDI95 terus mengekalkan harga pada RM1.99 seliter bagi kumpulan sasaran.

Langkah ini membuktikan bahawa kerajaan masih memainkan peranan penting dalam melindungi rakyat daripada kesan langsung lonjakan harga ‘refined products’ di pasaran global.
Selain itu, kerajaan turut mengambil langkah sementara bagi memastikan subsidi bersasar lebih berkesan, termasuk mengehadkan penggunaan BUDI95 kepada 200 liter sebulan, di samping mengekalkan bantuan diesel sebanyak RM300 kepada kumpulan yang layak.
Pendekatan ini bertujuan memastikan subsidi sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan, selain mengelakkan ketirisan dan penyalahgunaan yang boleh meningkatkan beban fiskal negara.
Dalam masa yang sama, kerajaan juga melaksanakan strategi jangka sederhana bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran ‘refined products’ global, termasuk memperkukuh kapasiti penapisan tempatan, meningkatkan kecekapan rantaian bekalan bahan api domestik serta memperluaskan pelaksanaan subsidi bersasar.
Langkah-langkah ini menunjukkan kerajaan bukan sahaja bertindak menangani tekanan jangka pendek, malah merancang penyelesaian jangka panjang bagi memastikan kestabilan harga bahan api negara.
Ketika tekanan global terus meningkat, pendekatan kerajaan yang berhemah dan bersasar ini membuktikan komitmen berterusan dalam melindungi rakyat daripada kesan kenaikan harga bahan api, khususnya yang berpunca daripada lonjakan harga ‘refined products’ di pasaran antarabangsa.
Hakikatnya, tanpa campur tangan kerajaan, rakyat akan menanggung kenaikan harga yang jauh lebih tinggi. Namun melalui strategi subsidi bersasar dan langkah penstabilan, kerajaan terus memastikan kesejahteraan rakyat kekal terpelihara walaupun berdepan tekanan ekonomi global yang mencabar.








