GEORGE TOWN – Bekalan air dari Sungai Muda di Pulau Pinang dijangka mampu bertahan sehingga dua bulan sekiranya tiada lagi pelepasan air dalam jumlah besar dari empangan di Kedah walaupun negeri ini berdepan cuaca panas dan kering ketika ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk K Pathmanathan berkata, perkhidmatan bekalan air di negeri ini dijangka kekal stabil bagi April dan Mei 2026 dengan syarat tiada pelepasan air secara agresif dari Sungai Muda.
Menurutnya, dua empangan utama di Kedah iaitu Empangan Muda dan Empangan Beris memainkan peranan penting dalam menyalurkan air mentah ke Sungai Muda terutama ketika musim kemarau.
“Setakat Sabtu lalu, kapasiti Empangan Muda merosot ke tahap kritikal iaitu 7.19 peratus berbanding 84.6 peratus pada 1 Januari lalu dan 20.0 peratus pada 20 Februari.
“Empangan Beris pula mencatatkan penyusutan daripada 100 peratus pada awal tahun kepada 78.1 peratus pada 20 Februari sebelum terus menurun kepada 58.06 peratus pada 28 Mac baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, kapasiti maksimum Empangan Muda adalah 160,000 juta liter iaitu kira-kira 74 kali lebih besar berbanding Empangan Air Itam, namun parasnya susut sebanyak 77.8 peratus dalam tempoh 51 hari akibat pelepasan air bagi menyokong pengairan pertanian.
Susulan itu katanya, Empangan Muda kini tidak lagi berupaya melepaskan lebih banyak air ke Sungai Muda.
“Bagi Empangan Beris pula, kadar penyusutan semasa adalah kira-kira 0.56 peratus sehari atau 685 juta liter sehari (JLH) dengan baki simpanan dianggarkan mampu bertahan kira-kira 68 hari sebelum mencapai paras kritikal 20 peratus menjelang pertengahan atau akhir Jun 2026.
“Sehubungan itu, kita menjangkakan bekalan air di Pulau Pinang tidak terjejas dalam masa terdekat perlu diingat, sebarang pelepasan air dalam jumlah besar dari Sungai Muda pada April dan Mei boleh mempercepatkan penyusutan simpanan Empangan Beris,” ujarnya.
Dalam senario semasa, Pathmanathan berkata, keutamaan perlu diberikan kepada bekalan air untuk Pulau Pinang dan Kedah bagi membolehkan kedua-dua empangan tersebut pulih ke paras selamat.
“Sungai Muda merupakan sumber utama air mentah bagi Pulau Pinang dan dikongsi bersama Kedah yang mana, PBAPP mengabstrak kira-kira 1,000 JLH air mentah setiap hari di muka sauk Lahar Tiang, Seberang Perai Utara (SPU) untuk dirawat di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
“Kedudukan muka sauk itu yang terletak di hilir kepada 14 loji rawatan air dan muka sauk pengairan di Kedah menjadikannya amat bergantung kepada aliran air dari hulu,” katanya.
Beliau menambah, bagi menangani cabaran semasa, PBAPP telah mengaktifkan Pelan Kontingensi Sungai Muda 2026 (SMCP 2026) sejak akhir Februari lalu susulan kapasiti Empangan Muda yang menyusut ke paras kritikal.
“Antara langkah utama pelan itu ialah pengabstrakan maksimum air mentah dari Sungai Muda setiap hari bagi menyokong operasi optimum LRA Sungai Dua.
“Selain itu, pelepasan air secara strategik dari Empangan Muda Diperbesarkan (EMD) akan dilaksanakan sekiranya berlaku kekurangan bekalan air mentah namun kapasiti maksimum pelepasan dihadkan kepada 600 JLH,” katanya.
Menurutnya, PBAPP turut meneruskan pelaksanaan Program Double Dam Defence Pulau Pinang (D3PI) dengan mengepam kira-kira 407 JLH air terawat dari LRA Sungai Dua ke bahagian pulau bagi memastikan Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang tidak kering.
“Pelan tersebut bukan penyelesaian menyeluruh kerana kapasiti pelepasan maksimum EMD masih lebih rendah berbanding keperluan LRA Sungai Dua yang memerlukan kira-kira 1,000 JLH untuk beroperasi secara optimum.
“Daripada segi status empangan di Pulau Pinang, Empangan Air Itam merekodkan kapasiti 69.38 peratus setakat 28 Mac berbanding 93.9 peratus pada awal tahun manakala Empangan Teluk Bahang menurun kepada 84.05 peratus daripada 99 peratus.
“Empangan Mengkuang Diperbesarkan pula kekal stabil pada 91.24 peratus berbanding 92.8 peratus sebelum ini, disokong oleh taburan hujan sebanyak 351 milimeter,” katanya lagi.
Jelas beliau, Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang kini bergantung kepada pelaksanaan program D3PI yang mana kejayaannya amat bergantung kepada bekalan air mentah mencukupi dari Sungai Muda setiap hari.
Sehubungan itu, beliau meminta semua pengguna air di Pulau Pinang menggunakan air secara berhemah sehingga musim hujan seterusnya bagi membantu memulihkan semula simpanan empangan.




