Krisis minyak dunia: Malaysia kini pengimport bersih, penggunaan meningkat mendadak

MALAYSIA yang suatu ketika dahulu dikenali sebagai pengeksport bersih minyak kini berdepan perubahan ketara apabila menjadi pengimport bersih bahan api berikutan peningkatan penggunaan domestik dan penurunan pengeluaran minyak mentah.

Pemerhati politik, Ahmad Mursi berkata, perubahan struktur tenaga negara itu menjelaskan mengapa Malaysia turut terkesan dengan kenaikan harga minyak global, termasuk dalam situasi konflik antarabangsa.

Beliau berkata, sebelum tahun 2010, Malaysia menghasilkan dan mengeksport lebih banyak minyak berbanding jumlah yang diimport.

Namun selepas tahun tersebut, keadaan berubah apabila keperluan domestik meningkat sehingga melebihi pengeluaran tempatan.

“Pengeluaran minyak negara menurun saban tahun kerana banyak telaga minyak yang sudah matang, manakala penggunaan domestik pula meningkat dengan ketara,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun 2008, pengeluaran minyak mentah negara dianggarkan sekitar 720,000 tong sehari. Bagaimanapun, jumlah itu kini menurun kepada kira-kira 500,000 tong sehari.

Dalam tempoh sama, penggunaan domestik pula meningkat dengan ketara. Jika pada tahun 2008 penggunaan minyak negara sekitar 520,000 tong sehari, kini jumlah itu meningkat kepada lebih 900,000 tong sehari.

Ahmad berkata, peningkatan penggunaan itu banyak dipengaruhi oleh pertambahan jumlah kenderaan di negara ini.

“Pada tahun 2008, jumlah kenderaan di Malaysia sekitar 18 juta unit. Menjelang 2025, jumlah itu meningkat kepada kira-kira 39 juta unit, iaitu pertambahan lebih 20 juta kenderaan dalam tempoh kurang dua dekad,” katanya.

Ahmad berkata, keadaan itu menyebabkan hampir separuh daripada minyak yang digunakan bagi kegunaan domestik kini perlu diimport, termasuk melalui laluan strategik seperti Selat Hormuz yang sering terdedah kepada ketegangan geopolitik.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebelum ini memaklumkan kerajaan turut berdepan peningkatan mendadak dalam perbelanjaan subsidi bahan api susulan perkembangan konflik antarabangsa.

Katanya, subsidi petrol meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion dalam tempoh kurang seminggu ketika tercetusnya konflik yang memberi kesan kepada harga minyak global.

Ahmad berkata, dalam keadaan sedemikian, kerajaan tidak boleh sekadar menambah subsidi tanpa mengambil kira sumber kewangan negara.

“Kerajaan boleh sahaja meningkatkan subsidi, namun persoalannya ialah sumber pembiayaan. Jika ditampung melalui hutang, beban itu akhirnya akan ditanggung oleh generasi akan datang,” katanya.

Beliau menjelaskan pendekatan subsidi bersasar yang diperkenalkan kerajaan bertujuan memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar layak, selain mengelakkan ketirisan serta penyeludupan.

Katanya, langkah rasionalisasi subsidi diesel sebelum ini berjaya menjimatkan kira-kira RM4 bilion daripada ketirisan.

“Bayangkan sekiranya konflik global berlaku dalam keadaan ketirisan subsidi masih berleluasa, tentu tekanan terhadap kewangan negara akan menjadi lebih besar,” katanya.

Ahmad turut mengingatkan kesan konflik antarabangsa akhirnya akan dirasai oleh rakyat walaupun Malaysia tidak terlibat secara langsung dalam peperangan.

Menurutnya, sekiranya kesannya tidak berlaku secara langsung melalui kenaikan harga minyak, ia berpotensi berlaku melalui peningkatan kos barangan yang bergantung kepada pengangkutan laut dan udara.

Sehubungan itu, beliau menggesa rakyat supaya bersikap sederhana dan memahami krisis tenaga global merupakan faktor luar yang berada di luar kawalan negara.

Related Posts

Harga minyak dunia diramal terus meningkat

SINGAPURA – Harga minyak meningkat apabila rundingan antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran berhubung perjanjian damai serta pembukaan semula Selat Hormuz menemui jalan buntu, manakala saham Asia bergerak tidak menentu…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Dari Batik ke Luxury Brand: Bolehkah Malaysia lahirkan jenama bertaraf dunia?

KUALA LUMPUR — Sebut Prada, Gucci, Versace atau Armani, satu perkara akan terlintas di fikiran kita: Itali. Nama-nama itu bukan lagi sekadar jenama pakaian. Ia telah menjadi sebahagian daripada identiti…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

Tangki minyak ‘menyamar’ jadi tayar ganti, helah seludup petrol terbongkar

Tangki minyak ‘menyamar’ jadi tayar ganti, helah seludup petrol terbongkar

Laporan RCI TH akan diserah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut

Laporan RCI TH akan diserah kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

UMNO Pahang terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

Operasi serentak seluruh negara, 1,043 warga asing ditahan

RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen

RON97 turun 20 sen, RON95 tanpa subsidi turun 15 sen

Teguran buahkan hasil, KSN puji kualiti kemudahan I-LEAD Park INSARA

Teguran buahkan hasil, KSN puji kualiti kemudahan I-LEAD Park INSARA