PENDANG – Beberapa jenis sayur-sayuran didapati mengalami kenaikan harga bukanlah disebabkan peningkatan bahan bakar diesel semasa, namun susulan fenonema El-Nino melanda negara selain permintaan yang tinggi di musim perayaan.
Tinjauan di Pekan Pasar Sehari Sungai Tiang, Pendang mendapati harga ayam dan ikan masih lagi stabil namun sayur-sayuran mula meningkat antara RM1 hingga RM13 untuk satu kilogram (kg) pada minggu lalu.
Antara sayur-sayuran yang mengalami kenaikan harga adalah daun bawang, pegaga, ulam raja, limau nipis, bendi dan daun sup.
Peniaga sayur, Nordin Ahmad, 56. berkata, nasib pengguna kini bergantung sepenuhnya pada ‘mood’ cuaca sehingga perkara itu menjejaskan hasil tuaian di ladang.
Sebagai contoh, dia menjelaskan,
daun bawang yang dijual olehnya mengalami kenaikan sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidilfitri.
“Dua hari sebelum umat Islam mahu menyambut Hari Raya Aidilfitri, harga daun bawang mengalami kenaikan sehingga RM25 sekilogram berbanding RM12 sekilogram sebelum ini.
“Pembekal mengatakan kepada saya bahawa faktor kenaikan daun bawang ini disebabkan cuaca panas dan kekurangan stok semasa musim perayaan. Disebabkan itu, harganya melonjak begitu tinggi.
“Dalam sejarah sepanjang saya jadi peniaga, ini harga paling tinggi naik tapi kalau nak kata punca kerana kenaikan harga diesel, saya rasa tidak betul sebab pembekal tiada pula kata pada saya harga naik disebabkan isu tersebut,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) ketika ditemui di Pekan Pasar Sehari Sungai Tiang, pada Rabu.

Seorang lagi peniaga sayur, Muhd Ramdan Suhaimi, 40, berkata, selain daun bawang, dua jenis sayur yang dijualnya turut mengalami kenaikan semasa.
“Sebelum hari raya, sayur pegaga yang saya jual RM10 sekilogram tetapi kini naik kepada RM14 sekilogram, daun bawang pula dari RM12 naik sehingga RM25 manakala daun sup pula dijual pada harga RM14 sekilogram berbanding RM9 sebelum ini.
“Setakat ini pembeli tidak mengadu atau marah pun dengan kenaikan harga kerana mereka amat memahami dengan faktor cuaca yang amat terik ketika ini selain permintaan yang sangat tinggi ketika Aidilfitri,” katanya.

Sementara itu, peniaga hasil laut, Hazwan Mat Halim, 40, berpendapat, jumlah bekalan yang diperoleh akan mendorong perubahan harga jualan ikan dan hasil laut lain.
Namun jelasnya, setakat ini dia tidak berdepan dengan masalah bekalan dan bahan mentah itu masih dijual pada harga berpatutan.
“Bekalan ikan tidak putus kerana nelayan tempatan masih turun ke laut walaupun hasil ikan agak kurang dari pembekal disebabkan ramai nelayan turut menyambut hari raya.

“Harga ikan tidak menentu, ia bergantung kepada bekalan, lagi banyak stok ikan lagi murah namun setakat ini saya masih menjual harga pasaran dan tidak menaikkan harga.
“Ikan kembung dan selar dijual pada harga RM10 untuk sekilogram sementara sotong antara RM30 ke RM35 bergantung kepada saiz. Kalau naik disebabkan harga diesel, itu tidak benar,” katanya.






