KUANTAN – Tiga sekeluarga maut selepas motosikal ditunggang mereka terbabas ketika pulang dari kawasan air terjun di Kampung Juara, dekat Pulau Tioman, Rompin, petang semalam.
Mereka dikatakan baru tiba di pulau peranginan itu pagi Sabtu untuk bercuti sempena Aidilfitri.
Ketua Polis Daerah Rompin, Superintenden Sharif Sai Sharif Mondoi berkata, nahas itu berlaku sekitar jam 4.30 petang.
“Mangsa yang maut adalah pasangan suami isteri, Mohd Sabri Jaa’far, 42 dan Aisyah Suhaimi, 32.
“Turut terkorban anak pasangan itu, Muhammad Yusuf Abdurrahman berusia 5 tahun.
“Berdasarkan maklumat awal, motosikal ditunggang Mohd Sabri terbabas sendiri ketika melalui Jalan Tekek-Kampung Juara,” katanya.
Sharif Sai memberitahu, Mohd Sabri adalah kakitangan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia di Putrajaya dan berasal dari Kampung Panchor, Pengkalan Chepa, Kelantan.
Katanya, isteri Mohd Sabri, Aisyah pula berasal dari Muar, Johor.
“Mohd Sabri disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala isteri dan anaknya meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Kampung Tekek.
“Berdasarkan semakan, motosikal jenis Yamaha Ego Avantis ditunggang semua mangsa adalah motosikal sewa dan mereka dijadualkan bercuti di Pulau Tioman sehingga 23 Mac ini,” katanya.
Beliau memaklumkan mayat semua mangsa akan dibawa ke Hospital Rompin malam tadi menggunakan bot milik Pasukan Polis Marin untuk tujuan bedah siasat.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



